Selangor FC cari jalan terbaik, Faisal Halim dapat kembali beraksi musim ini


  • Podium
  • Ahad, 09 Jun 2024

Status Faisal Halim masih lagi menjadi tanda tanya sama ada boleh menyertai kem latihan Selangor FC atau tidak bagi mengharungi saingan Liga Super musim ini. — Facebook/Selangor FC

PERKEMBANGAN terkini berkaitan tahap kesihatan tonggak Selangor FC, Faisal Halim akan diketahui dalam masa terdekat.

Memetik laporan Harian Metro, Ahli Lembaga Pengarah Selangor FC, Datuk Seri Shahril Mokhtar memaklumkan bahawa skuad Gergasi Merah akan mengadakan sidang media bagi menjelaskan status berkaitan pemain berusia 26 tahun itu.

“Kita akan mengadakan sidang media dalam minggu ini. Kita akan cuba mencari jalan terbaik supaya Faisal dapat menyertai pasukan dalam musim ini,” katanya.

BACA LAGI: 'Otai masih berbisa', Amri Yahyah, Indra Putra ledak gol bersama PT Athletic

BACA LAGI: Dion Cools gesa Harimau Malaya ubah mentaliti, raih kemenangan besar berdepan Taiwan

Jersi Mickey

Jersi Faisal Halim mengiringi perjuangan Harimau Malaya ketika berdepan Republik Kyrgyz pada Jumaat lalu. — Facebook/FAM

Menurutnya lagi, pihaknya juga akan cuba membawa tonggak Harimau Malaya itu untuk menyertai kem latihan skuad Gergasi Merah kelak.

Sebelum ini, Faisal menjadi mangsa simbahan asid oleh individu tidak dikenali pada 5 Mei lalu di sebuah pusat membeli-belah di Petaling Jaya, Selangor yang menyebabkan dia mengalami kelecuran tahap empat.

Dia berada dalam keadaan kritikal selepas insiden itu dan terpaksa mengharungi empat pembedahan untuk merawat luka lecuran di sebuah hospital swasta di Shah Alam, Selangor.

Kecederaan yang dialami Faisal atau mesra dengan panggilan Mickey itu menyebabkan dia terpaksa menjalani empat pembedahan sebelum dibenarkan keluar hospital.

Sehingga kini, status pemain berkenaan sama ada boleh menyertai kem latihan Selangor FC masih lagi menjadi tanda tanya.

Ia sekali gus menyebabkan penyokong bola sepak tanah air memberi gambaran kemungkinan dia akan terlepas aksi saingan Liga Super musim ini. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram