Syafiq, Quentin, Nik Shariff, Azrif Nasrulhaq 'anugerah pinjaman' kesayangan penyokong


  • Podium
  • Ahad, 09 Jun 2024

Antara aksi Syafiq Ahmad bersama Kedah pada musim 2021. — KDA FC

SIAPA tidak rasa sedih jikalau pemain yang kita minati akhirnya meninggalkan pasukan kesayangan selepas memberikan sumbangan hebat sepanjang beraksi buat kelab anda.

Lebih menyakitkan hati apabila kita mengetahui bahawa bintang itu akan pulang ke pangkuan pasukannya selepas tempoh pinjaman berakhir.

Terdapat beberapa kejadian serupa yang berlaku di dalam Liga Malaysia (Liga M) apabila pemain dipinjamkan terpaksa pulang ke pangkuan majikan masing-masing selepas beraksi baik.

Namun ada juga perpindahan yang berlaku semasa tempoh pinjaman yang memperlihatkan bintang itu terus kekal beraksi bersama kelab diwakilinya.

Majoriti senaraikan empat bintang yang pernah menjadi pujaan penyokong secara pinjaman sebelum pulang ke pangkuan kelab asal:

Quentin Cheng (left) in action for Penang during their Super League game against Terengganu. - Photo by Penang FC

Quentin ketika beraksi bersama Penang pada 2021.

1. Quentin Cheng Jiun Ho

Pemain pertahanan kanan Selangor FC, Quentin Cheng pernah dipinjamkan ke pasukan Penang FC pada musim 2021 daripada Selangor II.

Semasa tempoh pinjaman Quentin ke Penang, dia antara tonggak utama skuad Harimau Kumbang yang dibimbing oleh Tomas Trucha selepas beraksi dalam 22 perlawanan.

Dalam tempoh pinjaman itu, Quentin berjaya melakukan lima bantuan jaringan sebelum Selangor memanggilnya kembali selepas kehilangan Syahmi Safari ke Johor Darul Ta'zim (JDT).

Penyokong Penang ketika itu amat meminati gaya permainan Quentin yang gemar naik ke atas untuk membantu barisan serangan menghasilkan jaringan gol.

2. Muhammad Syafiq Ahmad

Musim ini, Muhammad Syafiq Ahmad sekali lagi dipinjamkan ke Kedah Darul Aman FC (KDA FC) selepas masih tidak mendapat peluang untuk beraksi dalam kesebelasan utama Harimau Selatan itu.

Namun perpindahan ini ialah kali kedua selepas Syafiq pernah dipinjamkan ke Sang Kenari pada musim 2021 sebelum dipanggil semula Harimau Selatan.

Ketika itu, Syafiq berjaya memikat hati penyokong Sang Kenari selepas menjaringkan dua gol dalam sembilan penampilan Liga Super.

Selain itu, Syafiq sempat menjadi arkitek Aidil Shahrin apabila melakukan empat bantuan jaringan sebelum terpaksa pulang ke JDT selepas beberapa bulan dipinjamkan.

3. Mohd Azrif Nasrulhaq

Selepas enam tahun berkelana di Selatan tanah air, Mohd Azrif Nasrulhaq dipinjamkan ke Sri Pahang FC pada musim lalu untuk mengembalikan namanya dalam arena bola sepak tempatan.

Azrif beraksi cemerlang bersama Sri Pahang musim lalu sehingga namanya berada dalam senarai bersedia Harimau Malaya.

Dalam 29 penampilan bersama Sri Pahang, Azrif melakukan tugas baik selaku pertahanan kanan Tok Gajah apabila meledak satu gol serta dua bantuan jaringan.

Namun disebabkan kontrak bersama JDT berakhir, Azrif musim ini menyertai Sri Pahang secara percuma dan sah menjadi bintang Tok Gajah tanpa status pinjaman.

4. Nik Sharif Haseefy

Pemain kesayangan Terengganu FC, Nik Sharif Haseefy kekal beraksi bersama Sang Penyu sehingga kini selepas dipinjamkan dari Selangor FC pada musim 2022.

Pemain berusia 27 tahun itu cemerlang bersama Sri Pahang sebelum menyertai Selangor pada 2021, namun disebabkan masalah kecederaan Nik Sharif gagal memenuhi potensi di kem Gergasi Merah.

Disebabkan itu, Selangor meminjamkan Nik Sharif ke Sang Penyu untuk memberikannya peluang beraksi selepas selesai tempoh pemulihan.

Perancangan Selangor itu berhasil selepas Nik Sharif cemerlang semasa tempoh pinjamannya sehingga menyebabkan pihak pengurusan Sang Penyu mahu mengikatnya secara kekal musim berikutnya.

Selepas beberapa perbincangan dengan pihak pengurusan Selangor, akhirnya Nik Sharif sah menjadi pemain Terengganu pada musim 2022. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram