[VIDEO] Dituduh ‘mastermind’ kes Faisal Halim: ‘Saya ada target lebih besar, yang susahkan dan ambil duit rakyat’, tegas TMJ


  • Podium
  • Ahad, 09 Jun 2024

Sesetengah pihak mendakwa Tunku Ismail merupakan dalang berhubung insiden hitam yang menimpa Faisal. — Facebook/JDT

PEMANGKU Sultan Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim sekali lagi menegaskan dakwaan terhadap tuduhan tidak berasas sesetengah pihak yang mengaitkan beliau dengan peristiwa hitam membabitkan pemain bola sepak kebangsaan, Faisal Halim.

Tunku Ismail yang juga pemilik Johor Darul Ta'zim (JDT) berkata, pemain bola sepak seperti Faisal Halim tidak sepatutnya menjadi mangsa sebegitu rupa lagi-lagi dia memiliki peribadi baik.

Beliau yang sinonim dengan gelaran TMJ berkata, pihak yang tidak henti-henti memetik nama beliau dengan insiden tersebut sepatutnya boleh berfikir dengan rasional bahawa Faisal bukan ancaman besar buatnya sehingga terpaksa melakukan kerja kotor seperti simbah asid.

BACA LAGI: Pergerakan masih diekori, Akhyar Rashid disaran pasang 'bodyguard'

BACA LAGI: Ramon Marcote petik Selangor, Kedah, Sabah dan kelab Pantai Timur calon kuat saingan JDT

"Budak ini (Faisal) adalah budak baik. Saya tak tahu hidup peribadi dia, cuma macam contoh apa yang terjadi kepadanya harus kita hentam tetapi apa kena mengena dengan saya. Ada orang nak cakap TMJ mastermind.

"Kalau saya nak habiskan orang, saya ada target lebih besar dalam negara ini. Yang ambil duit rakyat, yang bertanggungjawab dengan rompak hasil duit hasil duit rakyat. bagi saya itu lebih penjenayah yang patut dihapuskan, bukan pemain bola sepak," katanya memetik satu video temu bual yang dimuat naik Bola Tribe pada Ahad.

Beliau turut menjelaskan bahawa kedudukan Faisal sebagai seorang pemain bola sepak juga tidak menjadi ancaman besar buat skuad Harimau Selatan kerana rekod musim lepas JDT juga menyaksikan Selangor hanya merekodkan kekalahan bertemu pasukannya.

Selain kes membabitkan Faisal, TMJ sekali lagi dipetik berkaitan dengan Selangor apabila baru-baru ini bas Gergasi Merah tersangkut di bawah sebuah jambatan di Jakarta, Indonesia kerana tidak melepasi had ketinggian yang ditetapkan.

"Tidak akanlah orang Selangor tak boleh berfikir secara rasional, kenapa saya nak habiskan Faisal. Kami JDT lawan dengan Selangor tahun lepas 4-0, 2-0 dan Faisal pun main perlawanan itu. Jadi Faisal bukan ancaman untuk saya, bukan ancaman untuk JDT.

"Dia pemain yang baik, main untuk kebangsaan tapi kita tak tahu hidup peribadi dia. Apa agenda di sebalik serangan itu tetapi benda begini nak tuduh saya, kata pihak polis cover up lah.

"Macam lembik nak buat asid. Kalau nak hapuskan orang, hapuskan semua. Itulah saya cakap, macam tiada isu semua nak kaitkan saya. Baru-baru ini bas mereka diserang di Selangor, dituduh salah saya," tambahnya.

Untuk rekod, Faisal menjadi mangsa simbahan asid yang dipercayai berlaku di sebuah pusat beli-belah di Lembah Klang 5 Mei lalu sehingga dilaporkan mengalami kecederaan di badan, tangan dan muka akibat simbahan bahan cecair berbahaya itu. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram