SUDAH genap 30 hari insiden membabitkan pemain kebangsaan, Muhd Faisal Halim yang menjadi mangsa simbahan asid oleh individu tidak berhati perut gara-gara dengki dengan pencapaian diraihnya sejak beberapa tahun kebelakangan ini.
Faisal merupakan pemain bola sepak kedua yang menjadi mangsa jenayah selepas Muhd Akhyar Rashid disamun oleh sekumpulan perompak sehingga mengalami kerugian lebih RM4,800 di Kuala Terengganu pada 2 Mei 2024.
Pada 5 Mei lalu, Faisal bersama keluarga di sebuah pusat beli-belah sekitar Petaling Jaya, Selangor telah didatangi seorang individu yang menyimbah asid terhadapnya berkali-kali.
BACA LAGI: [VIDEO] Penyokong Indonesia 'berdekah' tengok bas Selangor sangkut bawah jambatan
BACA LAGI: Ramon Marcote petik Selangor, Kedah, Sabah dan kelab Pantai Timur calon kuat saingan JDT
Suspek kemudiannya melarikan diri bersama rakannya menaiki sebuah motosikal yang menggunakan nombor pendaftaran palsu.
Namun selepas 30 hari insiden yang berlaku kepada permata bola sepak negara itu, pihak berkuasa masih belum berjaya menangkap suspek.
Majoriti senaraikan kronologi ringkas serta peristiwa besar yang berlaku sepanjang insiden membabitkan Faisal Halim:
1. Faisal Halim terima rawatan 'skin allograft' dari luar negara
Faisal Halim, menerima rawatan 'skin allograft' yang dianggarkan mencecah ratusan ribu ringgit dari luar negara.
Prosedur berkenaan digunakan kerana pesakit tidak memiliki kulit yang cukup untuk digunakan bagi merawat dan menutup luka terbakar.
Ketua Perubatan Sukan Selangor FC, Dr Muhammad Hazwan Khair, berkata pendekatan itu diambil sebagai prosedur untuk membantu proses pemulihan Faisal.
Secara asasnya, prosedur itu adalah untuk memindahkan kulit sihat ke pesakit yang mengalami kecederaan khususnya kesan lecur kebakaran.
Difahamkan, kulit yang digunakan dibawa khas dari Belgium dengan harga tidak kurang RM80,000.
2. CEO Selangor FC terima ugutan
Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Selangor FC, Dr. Johan Kamal Hamidon mendakwa dia menerima ugutan menjadi mangsa simbahan asid seterusnya.
Selain Dr. Johan, beberapa pegawai kelab Selangor yang lain juga menerima ugutan sama dan bertindakn pantas membuat laporan polis bagi tujuan keselamatan.
Disebabkan ancaman tersebut, Selangor juga meningkatkan kawalan terhadap pasukan termasuklah ketika sesi latihan dan juga semasa aksi sepak menentang Kedah Darul Aman FC (KDA FC) pada 18 Mei lalu.
3. Rakaman CCTV Faisal Halim bocor
Tular di media sosial sebuah rakaman televisyen litar tertutup (CCTV) yang didakwa memaparkan kejadian pemain kebangsaan, Faisal Halim disimbah asid pada 5 Mei lalu.
Video berdurasi 56 saat itu dimuat naik di beberapa akaun media sosial peminat bola sepak negara sehingga mendapat perhatian orang ramai.
Kelihatan di awal video, seorang lelaki berbaju hitam dan bertopi sedang menunggu di belakang sebuah kereta hitam sambil memerhatikan Faisal sedang berjalan ke arah keretanya.
Selepas 10 saat kemudian, ketika Faisal ingin membuka pintu kereta, lelaki yang memakai baju hitam berkenaan segera menyimbah asid terhadapnya berkali-kali.
Suspek kemudiannya melarikan diri bersama seorang lagi rakannya yang sedang menunggu bersama motosikal tidak jauh dari lokasi kejadian.
Polis turut mengesahkan keaslian rakaman video terbabit dan sudah memulakan siasatan bagi mengesan individu yang menyebarkan rakaman CCTV berdurasi 56 saat itu.
Lakaran fotofit suspek serangan Faisal Halim.
4. Polis dedah lakaran fotofit suspek serangan simbah asid Faisal Halim
Selepas lebih dua minggu, PDRM akhirnya mengedarkan fotofit atau lakaran wajah dipercayai suspek terbabit serangan asid terhadap Faisal Halim pada 19 Mei lalu.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, orang ramai yang mengenali atau mempunyai maklumat berkaitan individu berkenaan diminta tampil bagi membantu mengesan suspek yang menyerang pemain kebangsaan itu.
"Suspek dianggarkan berusia 30-an, berketinggian 165 sentimeter (cm), tubuh bersaiz sederhana dan kulit sawo matang.
"Orang ramai yang mengenali atau mempunyai maklumat mengenai individu berwajah seperti lakaran fotofit diminta menghubungi pegawai penyiasat kes atau tampil ke balai berhampiran," katanya dalam satu kenyataan.
5. Cap jari di lokasi Faisal Halim disimbah asid tiada dalam rekod JPN
Hasil semakan tiga daripada lapan kesan cap jari di lokasi kejadian simbah asid Faisal Halim di Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) mendapati tiada sebarang rekod ditemukan.
"Apabila JPN periksa, tiada sebarang rekod dalam sistem. Kemungkinan cap jari ditinggalkan bukan ibu jari.
"Bagaimanapun, pihak polis giat mencari bukti-bukti bagi siasatan kes terbabit."
Sebelum ini dilaporkan hasil analisis mendapati lima daripada lapan cap jari ditemukan di lokasi kejadian, tidak cukup sifat.
Razarudin dilaporkan berkata, baki tiga cap jari lagi tidak mempunyai padanan dalam pangkalan data Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Ia berkemungkinan individu berkenaan tidak pernah ditahan polis dan tidak memiliki rekod kesalahan lampau.
Keadaan rumah Khuzaimi selepas dipecah masuk individu tidak dikenali pada 22 Mei lalu.
6. Rumah Khuzaimi Piee dipecah masuk
Pemain pertahanan Selangor FC, Ahmad Khuzaimi Piee menjadi mangsa pejenayah selepas rumahnya telah dipecah masuk oleh individu tidak dikenali sehingga beberapa barang berharga hilang dicuri.
Menerusi laporan polis, Khuzaimi mendapati pintu pagar rumahnya depan dan belakang telah terbuka pada 22 Mei lalu.
"Setelah membuat pemeriksaan, terdapat barang-barang berharga telah hilang antaranya adalah sebuah motosikal jenis Yamaha Y15, beg silang pelbagai jenama berserta pasport telah hilang," tulisnya dalam laporan itu.
Khuzaimi turut meminta jasa baik orang ramai agar dapat membantunya mencari motosikal miliknya yang dicuri.
Sehingga kini suspek masih belum ditangkap meskipun rakaman CCTV sudah disiarkan dalam media sosial.
7. Faisal Halim jalani pemulihan di lokasi rahsia
Perkembangan terkini, Faisal Halim sedang menjalani pemantuan rapi selama dua minggu sejak keluar dari hospital Sabtu lalu.
Namun menurut Pengerusi Jawatankuasa Teknikal Selangor FC, Datuk Seri Shahril Mokhtar, lokasi pemain itu menjalani pemulihan terpaksa dirahsiakan atas faktor keselamatan.
"Kita beri dia satu tempat dan kediaman untuk dia recover (pulih), dan juga atas dasar keselamatan.
"Kalau dekat rumah nanti orang datang orang apa, dia masih lagi belum pulih kerana bila kita bincang dengan doktor kadang-kadang kita tengok dah tiga minggu dia dalam hospital.
"Mungkin kalau dia keluar dari hospital mungkin keadaan itu lain, ketenangan tu lain jadi satu lagi impak tu lain jadi tu niat kita, kita nampak ada perubahan positif dekat diri dia," katanya.
Pada 25 Mei lalu Faisal Halim telah dibenarkan keluar dari hospital lebih awal dari jangkaan.
Ia susulan empat sesi pembedahan pemulihan akibat kecederaan simbahan asid 5 Mei lalu, akhirnya menunjukkan perkembangan positif. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram