YAYASAN Pemuliharaan Hijau Minyak Sawit Malaysia (MPOGCF) menyumbang sebanyak 15 perangkap harimau jenis Perangkap Wahab kepada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara Semenanjung Malaysia (Perhilitan) bernilai RM225,000 pada Selasa.
Pengurus Besarnya, Hairulazim Mahmud berkata, perangkap berharga RM15,000 setiap unit itu akan ditempatkan di kawasan-kawasan panas yang dikenal pasti oleh Perhilitan sebagai lokasi berlaku konflik manusia dengan spesies terancam berkenaan.
"Perangkap ini adalah jalan penyelesaian jangka pendek untuk menyelamatkan harimau belang yang populasinya kini hanya tinggal 150 ekor.
BACA LAGI: Budak perempuan 5 tahun mati dibunuh di Ipoh, ibu bapa angkat dicekup
"Sumbangan perangkap itu juga bagi mengelakkan haiwan liar berkenaan daripada terus menjadi mangsa konflik akibat serangan ke atas ternakan mahupun manusia, aktiviti pemburuan haram, dilanggar mati di atas jalan raya serta jangkitan penyakit seperti canine distemper virus," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.
Sumbangan perangkap bagi mengelakkan haiwan liar berkenaan daripada terus menjadi mangsa konflik.
Tambah beliau lagi, MPOGCF merupakan yayasan tunggal mewakili industri sawit Malaysia yang terlibat secara langsung dalam usaha memelihara dan memulihara harimau Malaya yang menjadi agenda kebangsaan di bawah Pasukan Petugas bagi Konservasi Harimau Malaya (MyTFF) yang ditubuhkan pada 2021.
"Antara usaha sama lain yang dijalankan oleh MPOGCF dan PERHILITAN berkaitan pemuliharaan harimau Malaya adalah kajian Penentuan Profil Hormon Pembiakan Harimau Malaya, Kajian Genetics & Immunogenetics Assessment of Malayan Tiger dan sumbangan makanan tambahan melalui kajian untuk meningkat potensi pembiakan harimau Malaya.
"Selain itu MPOGCF turut bekerjasama mewujudkan makmal laparoskopik untuk program pembiakan berbantu (ART).
"Usaha-usaha tersebut membuktikan komitmen MPOGCF untuk melindungi harimau Malaya sebagai khazanah biodiversiti negara yang berharga," katanya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram