Gagal capai kata sepakat, Thomas Tuchel tak jadi ke Man United


  • Podium
  • Selasa, 11 Jun 2024

Tuchel mahu 'berehat' seketika daripada melatih mana-mana pasukan sepanjang musim panas ini. — Agensi

BEKAS pengendali Bayern Munich, Thomas Tuchel, tidak mahu kembali ke Liga Perdana Inggeris musim depan meskipun menerima tawaran daripada beberapa kelab gergasi England.

Menurut perkembangan terbaru wartawan bola sepak terkemuka, Fabrizio Romano, bekas jurulatih Chelsea itu tiada perancangan untuk mengambil tugasan selaku pengurus untuk juara Piala FA Inggeris, Manchester United.

Perbincangan di antara kedua-dua wakil tersebut dilihat menemui jalan buntu sekali gus membuatkan Tuchel menarik diri selepas beberapa siri pertemuan diadakan minggu lalu.

BACA LAGI: Syafiq, Quentin, Nik Shariff, Azrif Nasrulhaq 'anugerah pinjaman' kesayangan penyokong

BACA LAGI: Pertukaran taktikal hak Kim Pan-gon — Legenda Harimau Malaya

Malah, individu berusia 50 tahun itu, memberitahu bahawa dia mahu 'berehat' seketika daripada melatih mana-mana pasukan sepanjang musim panas ini.

Dalam masa sama, spekulasi dan tanda tanya terus menghantui masa depan jurulatih kelahiran Belanda, Erik ten Hag, yang masih menunggu jawapan daripada pihak pengurusan tertinggi Manchester United mengenai kerjayanya di kelab itu.

Beberapa nama jurulatih lain seperti Mauricio Pochettino, Kieran McKenna dan Thomas Frank turut berada dalam perbincangan pihak pengurusan United.

Manakala, bekas pengendali Brighton & Hove Albion, Roberto De Zerbi, difahamkan turut menarik minat Red Devils jika mereka memilih untuk berpisah dengan Ten Hag. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram