Pernah ‘tak sebulu’ dengan Man United, legenda Liverpool kini tenat di hospital


  • Podium
  • Isnin, 10 Jun 2024

Hansen (kanan) pernah meraih pelbagai kejayaan sepanjang berbelas tahun beraksi buat The Reds. — Agensi

BEKAS pertahanan tengah Liverpool, Alan Hansen dilaporkan sedang tenat di hospital selepas dimasukkan baru-baru ini berdasarkan perkongsian di laman rasmi kelab itu.

Legenda berusia 68 tahun tersebut yang menjadi pundit sejak menamatkan kariernya dikejarkan ke hospital, namun masalah kesihatan dialaminya tidak didedahkan kepada umum.

"Sokongan orang ramai di Liverpool FC diberikan kepada bekas kapten kami, Alan Hansen yang sedang tenat dan mendapatkan rawatan. Kami di kelab sedang menghubungi keluarganya untuk memberikan bantuan pada waktu mencabar ini," tulis Liverpool dalam satu kenyataan.

BACA LAGI: Klopp minta maaf musnahkan impian Liverpool

BACA LAGI: [VIDEO] Pernah rantai bekas penyerang England, Shahrul Saad jadi mangsa amukan Liverpool

Pemain kebangsaan Scotland itu menyertai The Reds dari Patrick Thistle pada 1977 dan tidak menunggu lama untuk membantu kelab itu digeruni baik di peringkat domestik mahupun Eropah.

Antara pencapaian pernah dikecapinya adalah tiga kejuaraan Piala Eropah (Liga Juara-Juara UEFA), lapan gelaran liga Inggeris dan dua Piala FA sepanjang 14 tahun berkhidmat buat pasukan terbabit.

Selepas itu, Hansen menceburi bidang pundit dengan dia juga amat dikenali dalam kalangan peminat bola sepak kerana cukup mahir dalam membuat kritikan dan analisis.

Salah satu pandangan paling sukar dilupakan pernah diberikannya adalah apabila dia berasakan Manchester United tidak boleh meraih sebarang pencapaian dengan skuad muda.

"Anda tidak boleh menang apa-apa dengan budak-budak," katanya terhadap skuad The Red Devils yang kerap menurunkan 'ubi muda', seperti David Beckham dan Gary Neville pada musim 1995.

Meskipun pandangannya itu terserong pada akhirnya, kata-kata berkenaan sukar dilupakan sehingga hari ini, sekali gus mengangkatnya sebagai salah seorang pengulas dihormati dalam arena bola sepak moden. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram