Klopp minta maaf musnahkan impian Liverpool


  • Podium
  • Khamis, 25 Apr 2024

Klopp minta ampun kepada penyokong Liverpool kerana gagal menewaskan Everton. — Agensi

PENGENDALI Liverpool, Jurgen Klopp memohon maaf kepada penyokong selepas kekalahan The Reds kepada musuh tradisi mereka, Everton dalam aksi English Premier League (EPL) pada Rabu.

Diadakan di Goodison Park, Klopp dan Liverpool sedar mereka perlu menang bagi memastikan usaha mereka menghambat Arsenal dan Manchester City terus menyala.

Namun begitu, gol daripada Jarrad Branthwaite (minit ke-27) serta Dominic Calvert-Lewin (minit ke-58) memastikan Everton memperoleh gelaran raja Merseyside pada perlawanan tersebut.

Selepas perlawanan, Klopp secara terbuka memohon maaf kepada para penyokong disebabkan kekalahan tersebut. Dengan kekalahan itu, dia semestinya mengecilkan lagi peluang Liverpool untuk meraih kejuaraan liga.

"Saya tak tahu (apa nak cakap), saya cuma boleh minta maaf kepada semua yang bersama dengan kami. Saya tahu betapa susahnya perkara ini untuk kami, tetapi untuk penyokong, ia amatlah sukar.

"Kami sepatutnya lakukan dengan lebih baik, tetapi kami tidak berbuat demikian," kata Klopp.

BACA LAGI: Bekas pengadil FIFA anggap tak semua perlawanan Liga M perlu VAR

papar (2)

Calvert-Lewin (jersi biru, kanan) menjaringkan gol kedua Everton. — Agensi

BACA LAGI: Hargai sumbangan legenda, Terengganu, NSFC, KL City boleh ikut langkah Kedah

Liverpool menguasai baik perlawanan menentang musuh tradisi mereka itu. Namun begitu, segala peluang yang terhidang tidak digunakan sebaiknya bagi mendapatkan jaringan.

Lebih malang, pertahanan The Reds turut mengecewakan apabila pertahanan beraksi longlai hinggakan mereka memboloskan dua gol dengan ia hadir daripada situasi bola mati.

Klopp mengakui pasukannya berada dalam keadaan terburu-buru untuk mendapatkan gol selepas ketinggalan di separuh masa pertama. Dia menganggap persembahan di separuh masa kedua begitu beremosi buat diri dan skuadnya hingga memboloskan satu lagi jaringan.

"Kami terburu-buru (dalam mencari gol). Kami memboloskan gol di separuh masa kedua dengan jaringan rutin mereka hasilkan sepanjang musim. Kami tahu bola itu akan berada di tempat tersebut, tapi kami tidak bertahan dengan baik pada situasi tersebut.

"Mereka memperoleh sepakan percuma selepas satu sepakan percuma, kami memperoleh bola tetapi mereka memperoleh sepakan percuma," ujar Klopp.

Cabaran Liverpool akan bertambah sukar selepas ini apabila mereka perlu berdepan West Ham United pada Sabtu. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram