[VIDEO] Real Madrid julang trofi UCL, lepas Carlo Ancelotti marah Vinicius Junior


  • Podium
  • Ahad, 02 Jun 2024

Vinicius (nombor tujuh) menjaringkan gol untuk memastikan kemenangan Real Madrid dalam perlawanan akhir menentang Dortmund di Stadium Wembley awal pagi Ahad. — Agensi

PENGENDALI Real Madrid, Carlo Ancelotti terpaksa 'memarahi' Vinicius Junior untuk memberikannya semangat supaya dapat menjaringkan gol dalam pentas final Liga Juara-Juara Eropah (UCL) menentang Borussia Dortmund awal pagi Ahad (2 Jun).

Los Blancos berjaya melakar sejarah baharu mencatatkan kejuaraan kali ke-15 UCL selepas menewaskan Dortmund dengan keputusan 2-0 di Stadium Wembley, England.

Dalam perlawanan itu, Madrid nampak tertekan pada babak separuh masa permainan kerana gagal mencipta jaringan sebelum bek kanan, Dani Carvajal meletakkan Los Blancos di hadapan semasa minit ke-74.

BACA LAGI: Kelab Liga M wajar belajar dengan 'JDT Singapura' cara tarik pemain import berkualiti dari Eropah

BACA LAGI: Ramon Marcote petik Selangor, Kedah, Sabah dan kelab Pantai Timur calon kuat saingan JDT

Sembilan minit kemudian, Vinicus tenang menjaringkan gol kedua selepas memanfaatkan kesilapan yang dilakukan pemain Dortmund, Ian Maatsen.

Bagaimanapun, bintang Brazil itu mengalami kesukaran untuk beraksi baik dalam separuh masa pertama perlawanan kerana dikawal ketat oleh pertahanan Dortmund, Julian Ryerson.

Vinicius kembali mendapat rentak permainannya selepas mendengar jeritan daripada jurulatihnya semasa dalam bilik persalinan untuk membantu Real Madrid kembali menjulang trofi UCL yang dimenangi mereka pada musim 2021/22.

Selepas perlawanan, Ancelotti memberitahu bahawa beliau terpaksa memarahi Vinicius kerana membenarkan Dortmund bermain dengan cara yang mereka mahu.

"Saya terpaksa marah dia (Vinicius), kerana pada separuh masa pertama kami (Madrid) sedikit malas. Kami telah kehilangan bola dan membenarkan mereka (Dortmund) bermain dengan cara yang mereka mahu bermain."

Jurulatih kelahiran Itali yang telah memenangi gelaran hatrik UCL sebagai pengendali Madrid mahu mencipta sejarah baharu pada musim depan.

"Saya tidak pernah selesa, kerana ia semakin sukar dan sangat susah. Luar daripada jangkaan. Dalam separuh masa kedua, kami (Madrid) lebih baik, penuh keseimbangan dan kurang melakukan kesilapan. Mimpi ini akan berterusan," tambahnya.

Untuk info, ini merupakan jaringan kali kedua buat Vinicius dalam perlawanan final UCL, selepas kali terakhir dia melakukan perkara sama ketika menewaskan Liverpool pada musim 2021/22. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram