LEGENDA Manchester United, Teddy Sheringham memuji kualiti padang Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ), Kuala Lumpur dan bersedia untuk kembali beraksi pada masa akan datang.
Sheringham menjadi sebahagian daripada pasukan legenda United iaitu Manchester Reds yang beraksi menentang Liverpool Reds dalam perlawanan pertunjukan Battle of the Reds di SNBJ pada Sabtu.
Menariknya aksi tersebut, para pemain Manchester Reds dan Liverpool Reds memuji keadaan rumput yang cantik.
Sheringham yang bertindak sebagai pengurus Manchester Reds mengakui teruja dengan keadaan di stadium dan memuji para peminat kerana memberikan sorakan padu buat kesemua legenda.
“Saya sangat gembira melihat ramai yang hadir ke stadium dan saya berikan 10/10 berkaitan atmosfera di sini. Stadium yang besar dan penyokong yang sentiasa bersorak dan buatkan saya berbangga untuk turut serta dalam perlawanan ini.
“Keadaan padang juga cantik dan rata yang membuatkan kami dapat bermain bola sepak dengan baik. Tidak ada aduan berkaitan padang dan kami sedia untuk kembali bagi menebus maruah Manchester Reds,” katanya.
BACA LAGI: Ubi muda Harimau Selatan dah patut naik pangkat ganti Natxo bentuk set 'midfielder' JDT
Sebahagian aksi menarik antara Man Red dan Liverpool yang menyaksikan padang SNBJ dalam keadaan baik dan tiada aksi rumput terkopak. — Facebook/PSM
BACA LAGI: Baru pramusim, sudah ada senarai bintang import 'flop', bakal menyinar
Nada sama turut dikongsi oleh legenda Liverpool Reds, Glen Johnson yang gembira dengan suasana stadium dan keadaan padang yang dianggap baik serta membantu mereka mencipta kemenangan.
“Ia sangat baik kerana anda dapat mendengar penyokong berada di belakang anda setiap masa.
"Saya juga berikan 10/10 buat penyokong hingga kami berjaya mendapat keputusan yang dimahukan dalam aksi tersebut," kongsinya.
Bagaimanapun, penyokong bola sepak tanah air membidas kenyataan yang disuarakan oleh legenda EPL berkenaan yang menyifatkan rumput di padang SNBJ dalam keadaan baik dan cantik.
Penyokong berasakan kedua-dua pasukan EPL berkenaan tidak mengetahui cerita sebenar di sebalik 'rumput cantik' tersebut.
Ia kerana SNBJ sebelum ini kerap menjadi 'bahan' peminat bola sepak apabila dikaitkan dengan kerosakan padang dan rumput terkopak.
"Padang cantik je bila team legend dunia main, bila team sendiri main macam haram jadah padang PSM bagi, kera di hutan disusukan, anak sendiri dibiarkan sengsara," kata Kemm Barry.
"Masa team Malaysia nak main sibuk ada konsert sampai padang hancur, tapi time team luar datang elok pula," kata Bedah Ithnin.
"Lain macam padang SNBJ ni, sekejap je elok rupa dia eh, mentang-mentang legenda dunia main, automatik tiada rumput yang terkopak," kata Rahman.
Perlawanan tersebut menyaksikan barisan legenda Liverpool meraih kemenangan 4-2 ke atas Manchester Reds dengan Djibril Cisse meledakkan hatrik dan satu gol lagi disumbang Florent Sinama Pongolle. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram