[VIDEO] Kita mewarisi hutang-hutang lama, kena bayar sikit-sikit — Pengurus Sabah FC


  • Podium
  • Khamis, 06 Jun 2024

Mohd Joh sedar akan beban dan tanggungjawab menanti di posisi pengurusan. — Facebook/SabahFC

KEM Sabah FC baru-baru ini terpalit dengan dakwaan mengalami masalah gaji selepas beberapa pemain Sang Badak seperti Farhan Roslan dan Saddil Ramdani menunjukkan isyarat empat menggunakan jari.

Isyarat empat itu ditunjukkan anak-anak buah Datuk Ong Kim Swee selepas berjaya menundukkan PSIS Semarang dalam aksi RCTI Premium Sports dengan keputusan 2-1 di Stadium Antarabangsa Jakarta, Jakarta, Indonesia pada Ahad lalu.

Isu dalaman itu bagaimanapun tidak seteruk seperti digambarkan segelintir pihak apabila Pengurus Besar Sabah FC, Mohd Joh Wid memaklumkan bahawa khabar angin berkenaan adalah berupa 'serkap jarang' atau tuduhan sembarangan.

BACA LAGI: Misteri '4 jari' terjawab, Sabah alami tunggakan gaji sejak Mac — Sumber

BACA LAGI: Isyarat 4 jari 'hint' halus Sabah sekali lagi dilanda isu gaji?

Memetik laporan Berita Harian, Mohd Joh tidak mahu masalah berkenaan terus dibesar-besarkan sehingga ia mengganggu persiapan pasukan untuk saingan Liga Super dan kejohanan Piala FA nanti.

Dalam pada itu, Mohd Joh yang baru dilantik sebagai Pengurus Besar The Rhinos juga seperti memberi bayangan bahawa masalah dalaman itu boleh tercetus sedikit sebanyak berpunca daripada hutang pengurusan sebelum ini.

Perkara berkenaan dikongsikan sendiri oleh Mohd Joh dalam satu temu buat bersama Kinabalu Podcast baru-baru ini dengan beliau menceritakan bahawa pihaknya kini sedang menyelesaikan masalah itu.

"Kita mewarisi hutang-hutang yang lama. Tanggungjawab kita sekarang ialah melaksanakan tanggungjawab yang ada iaitu bayar gaji dan komitmen. Yang kedua ialah perlu mengurangkan hutang, membayar hutang yang sudah lama tertunggak dan tepu.

"Kalau kita tak dapat habiskan, kena aktifkan hutang berkenaan. Maksudnya, kena bayar hutang itu secara sikit-sikit. Tindakan itu boleh buatkan pemiutang senang hati sebab ada bayaran yang mereka terima," katanya.

Mengulas lanjut mengenai detiknya diberi kepercayaan menerajui Sabah, beliau tahu akan beban dan tanggungjawab menanti di posisi pengurusan, namun percaya ia adalah amanah diberikan buatnya.

""Kita berada dalam situasi yang lebih bagus, bukan kita yang tentukan. Apa yang saya mahu cerita sini ialah, transisi (pengurusan) itu berlaku di tengah-tengah kontrak tiga tahun pemain yang mana kos itu kita sedang hadapi.

"Apa yang saya boleh katakan ialah kita tidak boleh lari daripada tanggungjawab itu. Sebagai orang yang duduk selepas ini (Pengurus) dan kita melihat kos itu, ia antara yang besar. Saya tak nak kongsi jumlahnya," tambahnya.

Terdahulu, Majoriti melaporkan bahawa Sabah sedang mengalami masalah tunggakan gaji sejak Mac lalu dan didakwa telah menggunakan duit penajaan RM6 juta untuk perbelanjaan pasukan pada awal tahun ini. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram