'Sudah lama tak dibayar', bintang Sabah FC bersedih rumah tiada bekalan elektrik


  • Podium
  • Sabtu, 08 Jun 2024

Giliran Apek pula meluahkan rasa ketidakpuasaan hati selepas tidak menerima gaji.

PENJAGA gol Sabah FC, Khairul Fahmi Che Mat berkongsi keadaan rumahnya yang tiada bekalan elektrik selepas mendakwa sudah lama tidak dibayar.

Perkara itu dikongsikan selepas membalas komen seorang individu dalam media sosial menerusi laman Instagram.

Khairul Fahmi atau lebih dikenali dengan panggil Apek memuat naik video dipercayai sedang duduk di tangga rumahnya dengan memuat naik kapsyen 'Dunia umpama neraka hidup ibarat layang-layang'.

BACA LAGI: Misteri '4 jari' terjawab, Sabah alami tunggakan gaji sejak Mac — Sumber

BACA LAGI: [VIDEO] Kita mewarisi hutang-hutang lama, kena bayar sikit-sikit — Pengurus Sabah FC

Disebabkan hantaran yang dimuat naik oleh penjaga gol berusia 35 tahun itu, ramai penyokong meninggalkan komen untuk mengetahui keadaan sebenar pemain Sabah itu.

Seorang pengguna Instagram, @Helm_Sleh bertanya adakah rumah bintang Sabah itu tiada bekalan elektrik dan pertanyaan itu dijawab oleh Apek.

"Tiada karan (elektrik) ke Apek?"

"@Helm_sleh tiada elektrik, lama dah tak dibayar," jawab Khairul Fahmi.

Jawapan Khairul Fahmi itu turut mendapat perhatian penyokong lain selepas tersebar khabar angin pasukan Sabah mengalami isu tunggakan gaji.

"Aduh lama tak bayar ke? Susah macam ini Bos mahu pergi sup ikan 'enjoy' cafe," tanya Legend Lordwin.

"Berapa bulan sudah tak bayar bil api Apek?" soal Zizou Ak.

"Lain betul kata-kata awak sejak empat bulan ini," luah Peechee7.

Sebelum ini, beberapa pemain Sang Badak seperti Farhan Roslan dan Saddil Ramdani menunjukkan isyarat empat menggunakan jari.

Isyarat empat itu ditunjukkan anak-anak buah Datuk Ong Kim Swee selepas berjaya menundukkan PSIS Semarang dalam aksi RCTI Premium Sports dengan keputusan 2-1 di Stadium Antarabangsa Jakarta, Indonesia pada Ahad lalu.

Petunjuk berkenaan kemudiannya diterjemahkan rata-rata penyokong skuad Sang Badak yang mahu jawapan tepat diberikan pihak pengurusan akan situasi sebenar kewangan mereka.

Menurut sumber terdekat pasukan, Sabah sedang mengalami masalah tunggakan gaji sejak Mac lalu dan beliau mendakwa duit penajaan RM6 juta untuk perbelanjaan pasukan telah digunakan awal tahun ini.

"Sabah telah mengalami tunggakan gaji sejak Mac.

"Penaja RM6 juta kena tanya pihak pengurusan, (sebab) RM6 juta perbelanjaan (telah digunakan) untuk bulan Januari dan Februari sahaja.

"Ada lagi 11 bulan untuk Sabah terus bersaing dalam liga," katanya kepada Majoriti. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram