GANDINGAN beregu lelaki negara, Man Wei Chong-Tee Kai Wun kecundang di perlawanan akhir Terbuka Indonesia pada Ahad.
Bertemu pasangan pilihan kedua dari China, Liang Wei Keng-Wang Chang di Istora Senayan, Jakarta, gandingan Wei Chong-Kai Wun tewas dengan keputusan 21-19, 16-21, 12-21.
Dalam perlawanan yang berlangsung selama 55 minit itu menyaksikan pertarungan sengit ditampilkan oleh kedua-dua pasangan beregu bagi merebut kejuaaran Jelajah Dunia BWF kategori 1000 itu.
BACA LAGI: Jangan hampa pulang tangan kosong, skuad badminton ada sasaran lebih besar di Olimpik
BACA LAGI: Terbuka Indonesia: Double Malaysia cipta sensasi tumbangkan juara dunia, Zii Jia turut mara
Dari set pertama lagi, perlawanan sengit ditampilkan oleh kedua-dua beregu. Namun begitu, gandingan Wei Chong-Kai Wun sentiasa berada satu tahap lebih baik berbanding Wei Keng-Chang.
Walaupun pasangan China itu cuba mengejar tetapi gandingan negara tetap utuh dalam cabaran mereka untuk memastikan set pertama dalam genggaman.
Skrip yang sama dilihat pada set kedua. Walaupun saingan sengit tetapi gandingan Malaysia dilihat lebih baik dan berjaya meninggalkan pasangan China.
Mendahului 11-7 di separuh perjalanan set kedua, Wei Chong-Kai Wun bagaimana pun kehilangan momentum hinggakan mereka kecundang 16-21 selepas 22 minit.
Set ketiga menyaksikan penguasaan lebih ketara daripada beregu China. Hasilnya, mereka mudah untuk mendapatkan set ketiga hingga pada satu ketika mendahului dengan 10 mata.
Selepas 18 minit, Wei Keng-Chang berjaya menamatkan perlawanan dengan memperoleh set ketiga 21-12.
Walaupun hanya menjadi naib juara tetapi kempen Terbuka Indonesia amat bermakna Wei Chong-Kai Wun yang berjaya menumbangkan juara dunia dari Korea Selatan, Kang Min Hyuk-Seo Seung Jae di pusingan pertama.
Selain itu mereka turut menewaskan beregu hebat Denmark, Rasmus Kjaer-Frederik Sogaard serta wakil tuan rumah, Sabar Karyaman Gutama-Moh Reza Pahlevi Isfahani di separuh akhir.
Untuk rekod, kali terakhir beregu lelaki negara memenangi Terbuka Indonesia pada 2008 menerusi gandingan Zakry Abdul Latif-Fairuzizuan Tazari. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram