[VIDEO] 'Muka dia macam tak ada apa-apa', pemain muda Terengganu raih pujian lepas aksi Kyrgyzstan


  • Podium
  • Jumaat, 07 Jun 2024

Safwan tersenarai dalam kesebelasan utama Harimau Malaya ketika mencatatkan keputusan seri menentang Republik Kyrgyz pada Khamis. — FAM

SKUAD kebangsaan memilih jalan sukar untuk layak ke pusingan ketiga Kelayakan Piala Dunia 2026 selepas merekodkan keputusan seri 1-1 berdepan Republik Kyrgyz di Stadium Spartak, Bishkek pada Khamis.

Keputusan itu melihatkan Malaysia terus berada di tempat ketiga Kumpulan D dengan tujuh mata - tiga mata di belakang Republik Kyrgyz, yang mempunyai kelebihan gol sebelum perlawanan terakhir.

Manakala Oman teratas dengan 12 mata dan layak ke pusingan ketiga Kelayakan Piala Dunia 2026.

BACA LAGI: Genap 30 hari insiden Faisal Halim, ada 7 peristiwa penting perlu diingati

BACA LAGI: [VIDEO] 'Masih dekat di hati', Benjamin Mora guna pendekatan TMJ bersama kelab baharu

Namun begitu, keputusan yang dicatatkan oleh skuad kebangsaan dianggap adil kerana ketiadaan beberapa tonggak utama serta kekurangan perlawanan persahabatan sebagai pemanas badan sebelum ke Bishkek.

Dalam perlawanan itu, pengendali Harimau Malaya, Kim Pan-gon berani untuk menurunkan bek muda Terengganu FC, Safwan Mazlan sebagai kesebelasan utama Malaysia dalam misi wajib menang menentang Republik Kyrgyz.

Taruhan yang dibuat Pan-gon itu membuahkan hasil apabila skuad kebangsaan hanya bolos satu jaringan dan Safwan berjaya mengunci pergerakan penyerang naturalisasi Republik Kyrgyz, Joel Kojo.

Malah aksi yang ditampilkan Safwan turut mendapat perhatian serta pujian daripada dua bekas pemain kebangsaan iaitu Shahrom Kalam dan Safee Sali selepas tamat perlawanan.

Bercakap semasa melakukan rumusan perlawanan di antara kedua-dua pasukan dalam Astro Arena, Shahrom menyifatkan Safwan sangat tenang dan bersedia untuk diturunkan.

"Bagi saya sangat menyakinkan kalau kita tengok riak muka dia (Safwan) macam tak ada apa-apa, muka cemas, takut tak ada.

"Dia 'compose' sangat bersedia untuk bermain dan itu sebenarnya satu benda yang baik serta prospek pasukan kebangsaan.

"Saya suka ketenangan Safwan mengawal bahagian pertahanan kerana dia bukan hanya menyorok di belakang Dominic Tan.

"Safwan keluar, 'cover' banyak benda yang dia buat 'perfect timing' sebagai seorang pertahanan," katanya.

Manakala, bekas penyerang kebangsaan, Safee Sali memuji karakter yang ada pada pemain berusia 22 tahun itu meskipun ini merupakan perlawanan pertamanya bersama skuad senior.

"Saya suka karakter yang ada 'fighter' dan bijak bila nak bawa bola ke depan itu dia tahu.

"Bila nak buat hantaran dan dia selesa dengan bola dan ia satu kelebihan ada Safwan Mazlan, selesa dengan bola adalah 'plus point' pada hari ini (Khamis).

"Prestasi hari ini saya rasa dia boleh diteruskan lagi dalam kesebelasan utama," jelasnya.

Untuk info, Harimau Malaya masih boleh layak ke pusingan seterusnya jika Malaysia berjaya menewaskan Chinese Taipei lebih daripada tujuh jaringan gol sementara mengharapkan Republik Kyrgyz tewas lebih tiga gol menentang Oman pada Rabu nanti. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram