Kedah bakal terima talian hayat, ada risau Sang Kenari senasib BRM Kuala Kangsar


  • Podium
  • Jumaat, 07 Jun 2024

Shahabudeen (tengah) memberi gambaran bahawa beliau akan menaja pasukan Kedah musim ini.

BERMULA dengan episod hitam seperti tunggakan gaji dan masalah dalaman yang berlaku dalam kem Kedah Darul Aman FC (KDA FC) sebelum ini, kini pelbagai kisah kurang enak terus mendapat perhatian penyokong Sang Kenari selepas pasukan tersebut dikhabarkan hanya mampu bertahan selama satu atau dua bulan kerana masalah kekangan kewangan yang dihadapi pihak pengurusan seperti tiada penajaan.

Perkara itu turut mendapat pengesahan daripada pemilik KDA FC, Tan Sri Daud Bakar berhubung masalah kekangan kewangan yang dihadapi pihak pengurusan itu selepas perlawanan menentang Selangor FC pada 18 Mei lalu.

Daud Bakar berkata, dengan kewangan yang ada ketika ini, pasukan KDA FC dijangka bertahan kurang daripada dua bulan.

BACA LAGI: Saya ada berhubung dengan Nafuzi Zain — Liridon Krasniqi

BACA LAGI: Sudah jumpa Tan Sri Daud Bakar, bakal penaja Kedah gembira MFL tukar waktu sepak mula

Ia susulan selepas penaja utama kelab KDA FC menarik diri daripada menaja pasukan berkenaan malah kurang sokongan daripada beberapa pelbagai pihak antara punca pasukan itu tidak mempunyai kewangan yang kukuh.

"Jika tiada penaja utama dalam masa terdekat, ia akan menjadi sukar kepada KDA FC untuk meneruskan perjuangan dalam saingan Liga Super.

"Ketika ini, kewangan yang ada sekarang boleh bertahan satu atau dua bulan sahaja," katanya kepada Majoriti.

Namun menerusi perkongsian Facebook pemilik syarikat rokok elektronik, Shahabudeen Jalil seolah memberi gambaran bahawa beliau akan menaja pasukan Kedah sekali gus memberikan sinar harapan baharu buat gergasi Utara tanah air itu.

Bersama perkongsian tersebut, Shahabudeen turut memuat naik foto bersama bekas pemain tengah Kedah serta Harimau Malaya, Yang Berhormat (YB) Baddrol Bakhtiar, YB Radhi Mat Din serta beberapa individu lain dengan berlatar belakangkan jersi Sang Kenari.

Namun begitu, walaupun ia merupakan khabar gembira buat penyokong Sang Kenari, mereka juga risau jikalau nasib KDA FC akan jadi seperti kelab Liga M3, BRM Kuala Kangsar sehingga terpaksa menamatkan operasi kerana tiada penajaan.

Sebelum ini, BRM Kuala Kangsar mendapat tajaan daripada syarikat rokok elektronik namun mendapat halangan daripada badan penganjur liga selepas Malaysian Football League (MFL) dan Amateur Football League (AFL) melarang mana-mana kelab daripada menggunakan jersi yang memaparkan logo penaja daripada jenama rokok elektronik.

"BRM FC dulu tak boleh sebab penaja Aladin Pro," kata Shahril Adzrol.

"Mana boleh geng (penyokong), alahai, sebelum ini BRM FC pun kena tukar penaja sebab syarikat rokok elektronik taja," jelas Rizal Razak.

"Mustahil jenama rokok elektronik dapat taja pasukan bola, sebelum ini dah ada kes macam ini sampai pasukan bungkus sebab tak dapat penaja," luah John Zai.

"Tak silap dulu ada kes pasukan amatur dapat taja stix (syarikat rokok elektronik) tapi diharamkan, sekarang ini Kedah dapat tajaan macam mana pula itu?" soal Afandi Sahmudin.

Menerusi laporan media sebelum ini, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) MFL, Datuk Stuart Ramalingam berkata, pengharaman tersebut dibuat disebabkan peraturan Liga Malaysia (Liga M) yang melarang semua bentuk iklan alkohol, perjudian, rokok dan rokok elektronik.

"MFL tidak akan membenarkan jersi (penaja rokok elektronik) dalam pertandingan kita. Kita tidak menghalang mereka tetapi isunya lebih kepada halangan terhadap pengiklanan di jersi pasukan sahaja," katanya yang ketika mengulas tentang BRM Kuala Kangsar pada musim lalu. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram