Terbuka Indonesia: Sze Fei-Izzuddin, Jun Hao mara ke suku akhir, gandingan Aaron-Wooi Yik ucap selamat tinggal


  • Podium
  • Khamis, 06 Jun 2024

Sze Fei-Izzuddin meneruskan cabaran ke suku akhir Terbuka Indonesia. — BAM

GANDINGAN beregu lelaki nombor dua negara, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin menepati ramalan apabila berjaya mara ke suku akhir Terbuka Indonesia.

Gandingan tersebut bagaimana pun berhempas pulas sebelum berjaya mengalahkan pasangan tuan rumah, Leo Rolly Carnando-Daniel Marthin dalam pertarungan tiga set.

Berlangsung selama 59 minit, Sze Fei-Izzuddin bagaimana pun tewas set pertama 16-21 sebelum memenangi set kedua dengan keputusan serupa.

BACA LAGI: Terbuka Indonesia: Double Malaysia cipta sensasi tumbangkan juara dunia, Zii Jia turut mara

BACA LAGI: Terbuka Indonesia: Jun Hao malukan pemain no.3 dunia depan penyokong tuan rumah

Di set ketiga, persembahan dan penguasaan lebih baik ditampilkan gandingan negara ini dan hasilnya mereka berjaya menang dengan keputusan 21-12 untuk mara ke suku akhir.

Di suku akhir, Sze Fei-Izzuddin akan berdepan sama ada wakil Indonesia, Mohammad Ahsan-Hendra Setiawan atau pasangan China Liang Wei Keng-Wang Chang.

Cerita berbeza buat pasangan utama negara iaitu Aaron Chia-Soh Wooi Yik yang terkandas di pusingan 16 terbaik.

Pasangan tersebut tunduk kepada kepada gandingan Chinese Taipei, Lu Ching Yao-Yang Po Nan, 16-21, 14-21.

Akan tetapi, Sze Fei-Izzuddin tidak sendirian di suku akhir kerana satu lagi pasangan, Man Wei Chong-Kai Wun Tee turut mengiringi mereka.

Gandingan yang mencipta sensasi di pusingan awal tempoh hari mencipta kejutan sekali lagi apabila mengalah beregu Denmark, Rasmus Kjaer-Frederik Sogaard dengan kemenangan 21-18, 19-21, 21-12.

Dalam kategori perseorangan lelaki, Leong Jun Hao memastikan namanya terus mekar di bumi Indonesia apabila turut melangkah ke suku akhir.

Berdepan pemain Chinese Taipei, Chou Tien Chen, Jun Hao dipaksa bermain tiga set sebelum mara ke aksi lapan pemain terbaik.

Jun Hao memenangi set pertama 21-18 sebelum kalah mudah di set kedua 13-21. Set ketiga menyaksikan Jun Hao meraih kemenangan tipis dengan keputusan 21-17 selepas 67 minit.

Selepas bertarung hebat menentang Tien Chen, Jun Hao akan berdepan pemain China, Li Shi Feng yang merupakan pilihan keenam kejohanan di suku akhir. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram