Tan Cheng Hoe, Police Tero dilapor berpisah, JDT atau kelab Indonesia bakal jadi destinasi seterusnya?


  • Podium
  • Khamis, 06 Jun 2024

Tan Cheng Hoe dilaporkan tidak lagi bersama Police Tero.

BEKAS pengendali Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe dilaporkan sudah tidak lagi bersama kelab Thailand, Police Tero selepas mengharungi kempen mengecewakan.

Cheng Hoe yang meninggalkan Selangor FC pada awal musim 2024/2025 untuk menyelamatkan kelab Thailand itu daripada tersingkir ke divisyen kedua, gagal berbuat demikian selepas Police Tero menamatkan saingan Thai League 1 di kedudukan kedua terakhir.

Sebagai rekod, Police Tero hanya mengutip 28 mata daripada 30 perlawanan liga pada musim 2023/2024.

BACA LAGI: Tan Cheng Hoe seolah-olah tak belajar kesilapan 7 tahun lepas

BACA LAGI: Irfan Fandi boleh pilih 'reunion' dengan bapa atau sertai Selangor, JDT lepas tinggalkan Thailand

tch

Cheng Hoe meninggalkan Selangor sebelum musim Liga Super 2024/2025 bermula.

Laporan media Thailand mendapati yang khidmat Cheng Hoe tidak lagi digunakan oleh Police Tero selepas kelab tersebut ingin mendapatkan muka baharu demi memperoleh kenaikan semula ke Thai League 1 pada musim depan.

Kelab itu juga tidak berminat untuk memperbaharui kontrak Cheng Hoe yang tamat pada hujung musim selepas kempen yang mengecewakan dengan dia hanya mampu membimbing Police Tero meraih dua kemenangan, tiga seri dan enam kekalahan.

Namun begitu, timbul kekeliruan apabila laman Transfermarkt menunjukkan yang kontrak Cheng Hoe sepatutnya tamat Jun 2025 dan bukannya pada tahun ini.

Sungguh pun begitu, kisah Cheng Hoe dan Police Tero sudah berakhir. Dia kini bebas untuk bersama mana-mana pasukan untuk musim baharu baik di Malaysia atau terus berkelana di luar negara.

tch

Tangkap layar laman Transfermarkt menunjukkan kontrak Cheng Hoe dan Police Tero sepatutnya tamat pada Jun 2025.

Sebelum ini, terdapat spekulasi mengatakan dia akan ke Johor Darul Ta'zim (JDT) tetapi bukan sebagai jurulatih tetapi lebih kepada bahagian pengurusan teknikal pasukan namun masih tiada yang konkrit berkenaan itu.

Namun begitu, Cheng Hoe berpeluang untuk terus kekal di luar negara dek kerana keinginannya mengendalikan kelab luar. Kelab-kelab Indonesia boleh cuba mendapatkan khidmatnya untuk musim baharu Liga 1 Indonesia.

Faktor melihat bekas jurulatih Kuala Lumpur City FC, Bojan Hodak yang berjaya membawa Persib Bandung menjadi juara liga mungkin boleh membantu kelab-kelab di sana cuba membawa seorang lagi pengendali berpengalaman menguruskan kelab Liga Super ke liga mereka. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram