BUMI Indonesia bergegar selepas pasangan beregu lelaki Malaysia, Man Wei Chong-Tee Kai Wun mencipta kejutan apabila mengalahkan gandingan Korea Selatan, Kang Min Hyuk-Seo Seung Jae di pusingan pertama Terbuka Indonesia.
Gandingan itu akhirnya berjaya menewaskan juara dunia tersebut selepas tiga kali percubaan dengan Wei Chong-Kai Wun menang 20-22, 21-16, 21-17.
Kemenangan gandingan itu merupakan sorotan utama kem Malaysia yang beraksi baik pada pusingan pertama.
BACA LAGI: Terbuka Singapura: Pearly-Thinaah terkandas, Tan Jie-Ee Wei mara
Gandingan Aaron Chia-Soh Wooi Yik tiada masalah ke pusingan kedua. — Agensi
Dalam kategori sama, pilihan kelima kejohanan, Aaron Chia-Soh Wooi Yik berjaya menewaskan pasangan Amerika Syarikat, Vinson Chiu-Joshua Yuan dengan kemenangan straight set 21-14, 21-11.
Gandingan Choong Hon Jian-Haikal Nazri terpaksa bermain tiga set sebelum berjaya mengalahkan wakil Chinese Taipei, Lee Yang-Wang Chi Lin, 18-21, 21-16, 21-17.
Sementara itu, perseorangan lelaki negara, Lee Zii Jia tiada masalah mara ke pusingan kedua apabila dia mengalah Angus Ng Ka Long 21-17, 21-16. Wakil perseorangan wanita, Goh Jin Wei pula tumpas kepada pemain China, Wang Zhi Yi dengan keputusan 15-21, 17-21.
Gandingan beregu wanita, Pearly Tan-M. Thinaah menepati ramalan apabila berjaya mara ke pusingan seterusnya. Berdepan pasangan Chinese Taipei iaitu Sung Shuo Yun-Yu Chien Hui, mereka berjaya menang 21-19, 22-20.
Akan tetapi, malang buat kesemua tiga pasangan beregu campuran apabila gandingan Goh Soon Huat-Shevon Jemie Lai, Choong Hon Jian-Go Pei Kee dan Chen Tang Jie-Toh Ee Wei semuanya tumpas kepada lawan masing-masing.
Aksi pada Rabu menyaksikan beberapa lagi wakil negara bakal turun beraksi seperti Leong Jun Hao, Tan Kian Meng-Lai Pei Jing dan Goh Sze Fei-Nur Izzuddin. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram