MALAYSIA berdepan cabaran yang cukup sukar dalam kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 menentang Republik Kyrgyz serta Chinese Taipei kerana dia dua aksi ini akan menentukan hala tuju Harimau Malaya.
Harimau Malaya mesti menang kedua-dua perlawanan bagi memastikan impian ke Piala Dunia di Amerika Syarikat, Kanada dan Mexico terus menyala.
Namun begitu, skuad kendalian Kim Pan-gon tempang tanpa nama-nama utama seperti Faisal Halim, Arif Aiman dan Darren Lok di bahagian serang. Dengan tugas sukar bertemu Republik Kyrgyz pada Khamis (sepak mula 11 malam waktu Malaysia), satu nama perlu tampil ke depan untuk mencari gol buat Harimau Malaya.
BACA LAGI: Kapten percayakan Pan-gon, bawa Harimau Malaya ke pusingan seterusnya
BACA LAGI: Lama tak main skuad senior, Pan-gon cabar Haqimi Azim jadi 'goal-getter'
Masa Shakir kini tiba!
Dengan tanpa nama-nama lazim yang menjadi penyebab kemenangan Malaysia, Pan-gon perlu mengharapkan wajah-wajah berbeza untuk menghasilkan gol berdepan Republik Kyrgyz.
Dengan lawan yang mempunyai sedikit lebih kekuatan berbanding kita, pastinya kerja keras perlu dilakukan bagi memastikan tiga mata hadir menjadi milik Malaysia.

Shakir dijangka melakukan penampilan pertamanya bersama Malaysia berdepan Republik Kyrgyz. — FAM
Pan-gon boleh menghalakan fokusnya kepada Engku Shakir. Dijangka akan melakukan penampilan pertamanya berdepan Republik Kyrgyz, pemain Terengganu FC itu boleh menunjukkan ketajamannya dalam merencana serangan ketika beraksi sebagai pemain tengah menyerang.
Dia mungkin sering menerima kritikan namun bakatnya sudah dipandang jurulatih kebangsaan. Jika diberi peluang, inilah masa untuk Shakir menyerlah!
Haqimi boleh balas kepercayaan KPG
Tanpa kehadiran Darren, Pan-gon mungkin meletakkan sandaran kepada Haqimi Rosli untuk bertugas sebagai penyerang utama berdepan pertahanan Republik Kyrgyz.
Walaupun Pan-gon berkemungkinan akan mengutamakan Paulo Josue di posisi nombor 9, tetapi potensi untuk melihat aksi Haqimi adalah besar kerana kualiti yang ada padanya.

Haqimi adalah sandaran Pan-gon untuk posisi nombor 9. — FAM
Dengan Haqimi sendiri mengaku dicabar oleh Pan-gon untuk tampi lebih tajam di depan gol, peluang seharusnya digunakan sebaiknya oleh pemain berusia 21 tahun itu untuk merobek gawang lawan apabila diberikan peluang beraksi.
Saiz yang dimiliki Haqimi cukup untuk menggerunkan pertahanan lawan, kini tinggal rembatannya saja untuk melintasi garisan gol.
Kebangkitan semula Safawi
Ketika era Tan Cheng Hoe menjadi jurulatih Malaysia, Safawi Rasid merupakan watak utama Harimau Malaya dengan kaki kirinya cukup berbisa.
Namun begitu, prestasinya mula merudum dan dia mula dibayangi oleh kecemerlangan Faisal dan Arif di bahagian sayap Harimau Malaya.

Safawi (kanan) boleh pacu Malaysia ke arah kemenangan. — FAM
Kini tanpa kedua-dua pemain itu, inilah masanya untuk Safawi keluar daripada bayang-bayang dan melakukan kebangkitan bagi memacu Malaysia ke arah kemenangan.
Bisa di kaki kirinya masih belum hilang dan jika ia memilih untuk hadir, sakti itu boleh datang ketika berdepan Republik Kyrgyz. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram
