'Bukan sebab di SSI', Ramon Marcote perjelas isu kontrak Selangor, tinggalkan pesanan buat Nidzam Jamil


  • Podium
  • Khamis, 06 Jun 2024

Nidzam mengendalikan Selangor selepas Cheng Hoe memilih untuk menyertai Police Tero pada musim ini.

BEKAS pengendali Selangor FC, Ramon Marcote Pequeno menepis dakwaan penyokong bola sepak tempatan yang mengatakan dia tidak menyambung kontrak bersama Gergasi Merah kerana insiden yang terkait di Stadium Sultan Ibrahim, Johor pada Jun 2023.

"Ia mudah, kerana saya hanya menandatangani satu tahun kontrak bersama Selangor, dan ia tamat begitu sahaja," katanya sambil menegaskan, penamatan kontraknya tiada kena mengena dengan insiden di kandang Harimau Selatan itu.

Sebelum ini, Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) mengesahkan pihaknya menerima aduan daripada Selangor berhubung isu penolong jurulatih pasukan itu yang dipukul ketika aksi separuh akhir Piala FA menentang Johor Darul Ta'zim (JDT) pada Jun 2023.

BACA LAGI: Ramon Marcote petik Selangor, Kedah, Sabah dan kelab Pantai Timur calon kuat saingan JDT

BACA LAGI: Sudah jumpa Tan Sri Daud Bakar, bakal penaja Kedah gembira MFL tukar waktu sepak mula

Bercakap kepada Majoriti, Ramon mengesahkan bahawa dia juga hanya menandatangani kontrak bersama Selangor selama setahun.

"Tidak pernah ada perbincangan untuk melanjutkan kontrak, kami berterima kasih dan mengucapkan selamat tinggal.

"Impian utama saya adalah untuk menjadi ketua jurulatih, dan saya sentiasa mengusahakan impian itu," katanya.

Ramon Marcote

Marcote musim lalu menyertai Selangor sebagai pembantu jurulatih Cheng Hoe.

Tambahnya lagi, dia terbuka dengan pelbagai pilihan dan sempat memuji ketua jurulatih Selangor, Nidzam Jamil dan berharap Gergasi Merah dapat melakukan yang terbaik musim ini.

"Saya sentiasa terbuka dengan pilihan lain seperti mana saya bersetuju untuk menjadi pembantu jurulatih di Selangor.

"Saya gembira Nidzam (Jamil) meraih keputusan yang bagus bersama Selangor, kerana dia adalah individu yang hebat dan mahu melakukan sesuatu dengan baik.

"Musim ini sangat panjang, dan tahun ini Selangor akan menyertai kejohanan antarabangsa. Pengurusan pemain akan menjadi kunci utama untuk mencapai objektif pasukan.

"Sentiasa memastikan pemain berada dalam prestasi yang baik dan tidak mengalami sebarang kecederaan, meskipun ia tugas yang kompleks untuk dilaksanakan," jelasnya.

Untuk rekod, Marcote pernah membimbing Kedah pada 2017 sebelum kembali ke Malaysia musim lalu sebagai pembantu jurulatih Tan Cheng Hoe bersama Selangor sehingga layak ke pentas Asia tahun ini.

Marcote pernah menjadi sebahagian daripada barisan jurulatih kelab gergasi Sepanyol, Atletico Madrid dan Arab Saudi, Al-Hilal sebelum dilamar oleh pasukan Ethnikos sebagai ketua jurulatih pada 2022. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram