Sudah jumpa Tan Sri Daud Bakar, bakal penaja Kedah gembira MFL tukar waktu sepak mula


  • Podium
  • Rabu, 05 Jun 2024

Kedah kini bergelut untuk mendapatkan bantuan kewangan. — KDA FC

LUAHAN penyokong Kedah Darul Aman FC (KDA FC) akhirnya didengari penganjur Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) selepas mereka bersetuju mengubah waktu sepak mula perlawanan Piala FA membabitkan Sang Kenari menentang Bukit Tambun FC pada 14 Jun nanti.

Penyokong Kedah menyuarakan pendapat sukar untuk turun menyokong Sang Kenari pada pukul 6.30 petang untuk menghormati waktu solat maghrib.

Lantaran itu, pihak pengurusan Kedah membuat permohonan kepada MFL agar waktu perlawanan tersebut diubah kepada masa yang lebih bersesuaian.

BACA LAGI: Ramon Marcote petik Selangor, Kedah, Sabah dan kelab Pantai Timur calon kuat saingan JDT

BACA LAGI: Penyokong Kedah lega tiket Piala FA murah, desak MFL ubah waktu sepak mula demi hormati solat maghrib

Mendengar permohonan Kedah, MFL mengumumkan waktu terbaru perlawanan antara Sang Kenari dengan Bukit Tambun diubah kepada pukul 9.00 malam.

Sebelum ini, MFL mengumumkan waktu perlawanan Kedah dan Bukit Tambun bakal berlangsung pada pukul 6.30 petang.

Usaha baik yang dilakukan oleh MFL itu mendapat respon positif daripada bakal penaja Kedah, Santai Mesra yang sebelum ini tampil ingin membantu membaik pulih kewangan Sang Kenari dari segi penajaan jersi pasukan.

Bercakap kepada Majoriti, Pengarah Bukan Eksekutif Santai Mesra, Izaharul Khairi berkata, usaha MFL untuk mengubah waktu sepak mula itu dianggap sesuatu yang positif bagi semua penyokong Sang Kenari.

"MFL dah ubah waktu sepak mula kepada 9.00 malam, ia satu masa yang dianggap baik dan bersesuaian."

Hasil usaha daripada MFL itu sekali gus memberi ruang kepada penyokong untuk hadir ke stadium bagi membantu Kedah menjana kewangan hasil penjualan tiket perlawanan.

Sementara itu, Izaharul sempat berkongsi status penajaan Santai Mesra bersama Kedah selepas sudah bersemuka dengan pemilik KDA FC, Tan Sri Daud Bakar baru-baru ini.

"Kami sudah berbincang secara terus dengan Tan Sri Daud Bakar, namun mungkin sukar kerana ada beberapa permintaan yg diminta oleh syarikat tidak menemui titik temu bersama KDA FC.

"Untuk musim ini, kelihatan sukar kerana KDA FC telahpun menandatangani kontrak bersama ALX (Al-Ikhsan) sebagai penaja utama pakaian.

"Namun untuk kolaborasi pada masa akan datang, kami sentiasa terbuka jika dapat menemui titik persamaan untuk keuntungan kedua-dua belah pihak," jelasnya.

Sebelum ini, menerusi laporan Majoriti, Santai Mesra menawarkan tajaan berbentuk jersi kepada Kedah musim depan, namun masih terbuka untuk memberi bantuan lain jika pihak pengurusan sudi mengadakan perbincangan dengan mereka.

Santai Mesra turut memberi bayangan boleh memberi suntikan dana sehingga RM2 juta sekiranya perjanjian untuk menjadi penaja jersi musim depan termaterai bersama pihak KDA FC. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram