KEMENANGAN Selangor FC dalam kejohanan jemputan empat penjuru, RCTI Premium Sports di Indonesia menyaksikan rekod cemerlang baharu kelab Liga Malaysia menentang wakil negara jiran.
Bukan Selangor sahaja yang berjaya menewaskan kelab Indonesia, Persija Jakarta dengan keputusan 1-0 di hadapan ribuan penyokong sendiri sehingga berlakunya rusuhan di babak akhir perlawanan.
Malah, Sabah FC turut mengikuti jejak langkah Gergasi Merah apabila menewaskan sebuah lagi pasukan negara jiran, PSIS Semarang dengan keputusan 2-1 meskipun terpalit dengan masalah tunggakan gaji sekali gus menduduki tempat ketiga kejohanan.
Dengan rekod baik dicatatkan dua wakil Malaysia dalam kejohanan empat penjuru itu, Majoriti senaraikan empat keputusan cemerlang yang pernah dicatatkan kelab Liga M ketika berdepan negara jiran:
1. Kelantan FA 3-0 Arema FC (2012)
Kelantan FA mencatat kemenangan pertama pada saingan Piala AFC apabila menewaskan Arema FC dari Indonesia 3-0 pada perlawanan ketiga kumpulan H di Stadium Sultan Muhammad Ke-IV, Kelantan pada 4 April 2012.
Ketika itu, penyerang import dari Lubnan, Mohamad Ghaddar menjadi wira The Red Warriors (TRW) apabila melakukan hatrik melalui jaringan pada minit ke-23, 47 dan 89.
Kelantan yang bermain tanpa tonggak utama seperti Khairul Fahmi Che Mat, Norshahrul Idlan Talaha dan Azizi Mat Rose lebih banyak menguasai permainan pada perlawanan itu.
Pasukan lawan bagaimanapun cuba bangkit dengan melakukan beberapa asakan, namun percubaan lemah wakil negara jiran gagal mencipta jaringan.
2. Johor Darul Ta'zim 3-0 Persija Jakarta (2018)
Johor Darul Ta'zim (JDT) mudah menewaskan kelab dari Indonesia, Persija Jakarta 3-0 dalam Kumpulan H aksi Piala AFC di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin, Johor pada 14 Februari 2018.
Pada perlawanan itu, pengendali JDT, Ulisses Morais memberi kepercayaan kepada Farizal Marlias membuat penampilan pertama di gawang selepas tamat tempoh penggantungan oleh Konfederasi Bolasepak Asia (AFC).
Malah perubahan taktikal juga dilakukan pengendali kelahiran Portugal itu apabila meletakkan Hariss Harun bergandingan bersama Fadhli Shas di benteng pertahanan selepas merehatkan Marcos Antonio yang belum pulih daripada kecederaan.
Dalam perlawanan itu, Hazwan Bakri, Jorge Pereyra Diaz dan Safawi Rasid mencentak selaku penjaring gol sekali gus melonjak JDT ke tangga teratas Kumpulan H.
3. Kuala Lumpur City 5-2 PSM Makassar (2022)
Kuala Lumpur City FC muncul juara Zon ASEAN, Piala AFC 2022 selepas mencatatkan kemenangan bergaya 5-2 ke atas wakil Indonesia, PSM Makassar, dalam aksi final di Stadium Kuala Lumpur pada 24 Ogos 2022.
Gol berganda ketua pasukan, Paulo Josue, dalam babak kedua, selepas Romel Morales dan Jordan Mintah memberikan kelebihan 2-0 dalam babak sebelumnya, menggambarkan penguasaan keseluruhan skuad Warga Kota itu sambil Hadin Azman menyudahkan sepakan penalti dalam waktu kecederaan.
Langkah bergaya KL City bermula pada minit ke-33 apabila Morales memanfaatkan situasi kelam-kabut di depan gawang gol lawan sebelum melepaskan satu sepakan voli deras dari dalam kawasan penalti untuk membuka jaringan.
Lima jaringan yang dihasilkan anak-anak buah Bojan Hodak menghantar keluar wakil dari Indonesia, PSM Makassar untuk layak ke pusingan seterusnya.
4. Sabah FC 5-0 PSM Makassar (2023)
Sabah berjaya meneruskan momentum positif kelab Liga M apabila membelasah wakil Indonesia, PSM Makassar 5-0 dalam perlawanan kedua Kumpulan H Piala AFC di Stadium Kapten I Wayan Dipta, Bali pada 5 Oktober 2023.
Skuad kendalian Datuk Ong Kim Swee itu tampil garang membuka tirai jaringan menerusi Darren Lok yang menanduk masuk hantaran Saddil Ramdani seawal minit keenam.
Sang Badak menambah gol kedua sekali lagi berpunca daripada gelecekkan Saddil memperdaya pertahanan pemain lawan sebelum melambungkan bola untuk ditanduk oleh Gabriel Peres pada minit ke-36.
Baki tiga lagi gol telah dijaringkan oleh Darren Lok, Stuart Wilkin dan Farhan Roslan untuk membantu Sabah mengutip tiga mata penuh. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram
