[VIDEO] 'Masih dekat di hati', Benjamin Mora guna pendekatan TMJ bersama kelab baharu


  • Podium
  • Khamis, 06 Jun 2024

Mora menyertai York United selepas dipecat oleh gergasi Liga Mexico, Atlas pada 4 Jun 2024.

BEKAS pengendali Johor Darul Ta’zim (JDT), Benjamin Mora melebarkan karier kejurulatihannya ke Kanada selepas disahkan menjadi jurulatih baharu bagi kelab York United.

Rekod kejayaan lampau Benjamin Mora membuatkan York United tertarik untuk mendapatkan khidmat jurulatih kelahiran Mexico ini.

Jurulatih kelahiran Mexico itu diperkenalkan oleh York United menerusi satu video pendek yang dimuat naik kelab divisyen tertinggi Kanada itu.

BACA LAGI: [VIDEO] Dari Liga Hong Kong ke Lembah Klang, 'adik' Corbin-Ong sertai Liga M3?

BACA LAGI: [VIDEO] Rekod 'ngeri' kelab Liga M-Indonesia buat penyokong Sang Garuda terduduk

Dalam sesi temu bual bersama media, Mora berkata, sifat kemanusiaan itu sangat penting untuk pemain terus kekal bersaing dan menunjukkan aksi yang sangat di atas padang.

"Ada banyak kerja rumah yang perlu dilakukan, tapi paling penting dari sifat kemanusiaan.

"Sifat kemanusiaan untuk setiap individu adalah yang paling penting, kerana jika fikiran mereka (pemain) terganggu dan emosi mereka tidak boleh beraksi baik.

"Mereka tidak boleh berikan yang terbaik di atas padang, Sebagai jurulatih pendekatan saya lebih menekankan tentang kemanusiaan.

"Bagaimana perasaan mereka terhadap pasukan, rakan sepasukan barisan jurulatih, keadaan persekitaran dengan konsep baharu.

"Jadi ia akan menjadi sangat baik kerana saya sangat teruja, sebab saya tak boleh tunggu untuk turun latihan esok (Jumaat).

"Saya tidak boleh menunggu lagi, saya nak bersaing dan terus bersaing," katanya.

Kenyataan yang dibuat oleh Mora itu mirip seperti Pemangku Sultan Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim (TMJ) yang pernah menekankan isu kemanusiaan jika mahu hasil yang lebih baik.

TMJ

Hantaran yang dimuat naik oleh TMJ pada 2021.

Pada 2021, TMJ pernah memuat naik hantaran berkenaan isu kemanusiaan selepas sebuah kelab didakwa memotong gaji pemain kerana menghidap kanser.

"Orang tu kena kanser, selepas dah berhempas pulas bersusah payah untuk awak, takkanlah oleh kerana kanser awak nak potong gaji dia 50 peratus? Macam ni ke jaga orang?

"Mana tak ramai (pemain) angkat kaki, dalam media sosial saja nampak hebat, dalam rumah sendiri hancur. Syarat pertama untuk berjaya adalah 'sikap kemanusiaan'," katanya.

Tugas pertama Mora adalah pada 10 Jun ini dalam aksi Liga Premier Kanada di antara York United dan pasukan di tangga kedua liga, Vancouver FC.

York United kini berada di tangga kelima Liga Premier Kanada dengan merekodkan 10 mata selepas tiga perlawanan yang diharungi.

Dengan aksi liga yang baru bermula, magis Mora dijangka akan terus ditagih untuk memberikan cabaran kepada pasukan-pasukan lain. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram