
SAINGAN Liga A1 Semi-Pro Kejuaraan MBSB Bank 2024/25 mula mendapat perhatian penyokong selepas disertai ramai bekas pemain Liga Super yang tidak memperolehi tempat dalam divisyen utama liga bola sepak negara ini.
Antara bintang yang beraksi untuk Liga A1 Semi-Pro ialah Amri Yahya, Syazwan Zainon, Hafiz Kamal, R. Kogileswaran dan beberapa pemain lain.
Namun apa yang lebih menarik ialah kehadiran kelab baharu, Bunga Raya Damansara FC yang menyerupai sebuah pasukan di Amerika Syarikat (AS), Inter Miami.
BACA LAGI: [VIDEO] 'Boyhood' Matt Davies boleh ulangi skrip sertai Sri Pahang
BACA LAGI: [VIDEO] Rekod 'ngeri' kelab Liga M-Indonesia buat penyokong Sang Garuda terduduk
Ini kerana pilihan warna jersi serta logo Bunga Raya Damansara mirip Inter Miami yang mempunyai pemain bintang seperti Lionel Messi, Sergio Busquets dan Jordi Alba.
Tidak kurang juga dengan Bunga Raya Damansara yang berjaya menarik minat pemain-pemain bintang seperti R. Kogileswaran, Khyril Muhymeen, Sunil Chandran dan dua pemain import muda.
Bukan sahaja berjaya mendapatkan bekas pemain Liga Super, Bunga Raya Damansara turut mengikat bintang yang pernah beraksi di Liga Hong Kong iaitu Ryan Venking Ong.
Mungkin orang ramai bertanya adakah Ryan Venking Ong mempunyai pertalian persaudaraan dengan bintang Johor Darul Ta'zim (JDT), La'Vere Corbin-Ong kerana mempunyai nama yang sama.
Perkara itu tidak dapat dipastikan kerana Corbin-Ong dilahirkan di England sebelum memilih untuk beraksi bersama Harimau Malaya.
Venking Ong sertai Bunga Raya Damansara musim ini.
Jadi siapakah individu yang bernama Ryan Venking Ong itu?
Berdasarkan maklumat diperolehi oleh Majoriti, Vengking Ong pernah berkelana di Liga Hong Kong bersama beberapa pasukan sebelum kembali ke negara ini.
Maklumat peribadi Venking Ong turut berada dalam laman sesawang Persatuan Bola Sepak Hong Kong yang mana ketika itu dia mewakili Wing Yee FC pada tahun lalu.
Pemain berusia 25 tahun itu beraksi di posisi pertahanan tengah bersama City University of Hong Kong dan Wing Yee FC.
Sebelum terbang ke Hong Kong, Venking Ong banyak beraksi di liga amatur Liga Juara-Juara Selangor (SCL) bersama Southern FC pada 2018.
Dia juga merupakan antara pemain terbaik yang pernah dimiliki oleh Southern FC selepas pernah dinobatkan sebagai pemain terbaik perlawanan dalam liga amatur tersebut.
Jika Venking Ong mempunyai pertalian darah dengan Corbin-Ong, adakah dia berpeluang untuk menyarung jersi Harimau Malaya jikalau beraksi baik bersama Bunga Raya Damansara musim ini? — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram