Kembali berlatih, tapi kasut dipakai cetus persoalan status kecergasan Syafiq Ahmad


  • Podium
  • Selasa, 04 Jun 2024

Syafiq kembali semula menyertai sesi latihan Kedah selepas cedera ketika berdepan Perak. — Kedah Darul Aman FC

SAINGAN bola sepak domestik kini sedang berehat untuk memberi laluan kepada aksi penting Harimau Malaya dalam kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 bertemu Republik Kyrgyz dan Chinese Taipei.

Dengan itu, ia memberi ruang kepada semua kelab Liga Super melalui tempoh bertenang sebelum saingan diteruskan dengan aksi Piala FA.

Aksi Piala FA akan bermula dengan kesemua 16 pasukan akan merebut salah satu kejuaraan utama di negara ini.

BACA LAGI: Ramon Marcote petik Selangor, Kedah, Sabah dan kelab Pantai Timur calon kuat saingan JDT

BACA LAGI: 'Impaknya luar biasa', fans Hijau Kuning tak sabar mahu sokong inisiatif sederhana Kedah

447206477_493757213005461_9125826301589088459_n

Syafiq dilihat menyarung kasut larian ketika sesi latihan Kedah.

Seperti kelab-kelab lain, Kedah Darul Aman FC turut melakukan persiapan dengan mereka akan berdepan wakil Pulau Pinang iaitu Bukit Tambung FC.

Berdepan wakil Liga A1 Semi-Pro, skuad kendalian Nafuzi Zain meneruskan sesi latihan supaya mereka dapat mengekalkan prestasi agar persembahan terbaik dapat disajikan di depan penyokong sendiri pada 14 Jun.

Dalam siaran media sosial dikeluarkan pihak kelab, berita gembira seakan hadir buat penyokong apabila mereka memuat naik gambar penyerang sensasi iaitu Syafiq Ahmad.

Syafiq sebelum ini mengalami kecederaan hamstring ketika Kedah berdepan Perak pada 24 Mei. Dalam perlawanan tersebut, Kedah tewas 0-2 kepada Perak di Alor Setar.

Dengan terpampangnya foto Syafiq sedang berlatih, ia memberikan sedikit harapan buat penyokong Kedah agar penyerang Harimau Malaya itu dapat kembali beraksi.

Namun begitu, timbul sedikit keraguan mengenai status kecergasan Syafiq. Hal ini kerana, dalam foto tersebut, Syafiq dilihat memakai kasut larian dan bukannya but bola sepak.

Ia mungkin memberikan isyarat yang Syafiq masih lagi cergas sepenuhnya dan masih memerlukan masa sebelum boleh beraksi semula.

Berkemungkinan, penyerang tersebut cuma menjalani latihan ringan secara bersendirian dan masih belum boleh menyertai rakan sepasukan lain.

Namun begitu, masih lagi ada waktu sebelum hari perlawanan tiba dan Syafiq berpeluang untuk kembali beraksi dengan kecergasan di tahap terbaik. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram