KEMELUT kewangan musim lalu mendesak Kedah Darul Aman (KDA) FC untuk memikirkan cara berbeza bagi memastikan sumber kewangan kelab tidak akan terjejas dengan mudah.
Meskipun dana dapat disalurkan menerusi penaja utama, kegagalan dalam mendapatkannya selepas tiga minggu saingan Liga Super bermula membuatkan mereka terpaksa mengambil kaedah berbeza.
Jadi, seperti mana diumumkan pemilik kelab, Tan Sri Mohd Daud Bakar, pasukan Utara tanah air berkenaan akan memperkenalkan produk air mineral yang bakal dijual secara meluas.
BACA LAGI: [VIDEO] 'Jualan air mineral KDA FC lebih efektif berbanding produk Vida semasa di Kelantan'
BACA LAGI: Mula meletup bersama Sang Saka Biru, fans Kedah cemburu dengan Ifedayo
Inisiatif itu boleh dikatakan satu percaturan cukup hebat daripada pihak pengurusan kerana pulangannya dikhuatiri tidak akan mencukupi untuk menanggung kos operasi pasukan.
Tetapi, minuman berkenaan dilihat sesuai untuk dipasarkan di Stadium Darul Aman, Kedah dalam setiap hari perlawanan dengan ia tentunya diperlukan orang ramai.
Malah, berdasarkan penerimaan penyokong Hijau Kuning di media sosial, mereka cukup bersemangat untuk menyokong inisiatif dilancarkan KDA FC demi kelangsungan pasukan.
Ia diluahkan pengguna Facebook Saiful Naim yang beranggapan perancangan diambil tidak boleh diperlekehkan kerana ia mampu memberikan impak cukup besar jika menerima sokongan.
"Yang paling aku tunggu-tunggu sebenarnya ialah produk air mineral dari KDA FC sendiri. Air ialah keperluan harian dan air yang bersih juga membantu tubuh badan kita menjadi sihat dan cergas.
"Pemasaran air mineral ini kalau dilaksanakan dengan betul, aku rasa pendapatan yang Kedah akan dapat mampu jadi lebih kukuh dan semestinya untuk memperluaskan jenama air mineral KDA FC ini memerlukan sokongan dari pihak-pihak yang tertentu bagi melancarkan lagi penjualannya," katanya.
KDA FC akan memperkenalkan air mineral keluaran kelab itu dalam masal terdekat.
Menurutnya lagi, selain boleh dijual ketika hari perlawanan, penduduk Negeri Jelapang Padi itu boleh memasarkannya di pelbagai kedai dan lokasi lain seperti sekolah dan pejabat.
Di samping itu, produk berkenaan juga dirasakan sesuai untuk diperkenalkan ketika aktiviti kemasyarakatan seluruh negeri dengan ia mampu menyalurkan pendapatan stabil buat pasukan.
"Secara peribadi, aku harap projek ni akan berjaya dan tak tergantung macam sebelum ni. Nampak macam biasa air mineral ni, tapi hasilnya akan pasti jadi luar biasa," katanya.
Pandangan berkenaan disokong rata-rata penyokong lain yang dilihat berkobar-kobar untuk bekerjasama dalam menghidupkan inisiatif itu agar KDA FC tidak lagi terjerumus ke dalam masalah kewangan.
Skuad Sang Kenari sudah tentu tidak mahu isu musim lalu berulang. — Facebook/KDA FC
"Keperluan di semua peringkat. Walaupun dah banyak pilihan, tetapi pilihan lebih berfokus dengan ia dua dalam satu," kata Zadul Mutaalim Ramli.
"Perlahan-lahan lahirkan jenama tempatan dari KDA FC pula, kita akan sokong produk lokal pula, khusunya untuk semua rakyat Kedah," kata Muaz Muaz.
"Patut dari dahulu lagi memang kena fokus kepada barang-barang keperluan ini kerana benda ni boleh beri dana yang bertahan dan berterusan," kata Ahmad Jey.
Selain air mineral, KDA FC turut difahamkan akan memperkenalkan pelbagai produk lain, termasuk minuman berasakan coklat dan lain-lain, namun tidak dipastikan lokasi penjualannya.
Sekiranya pendekatan itu membuahkan hasil seperti mana diharapkan, Kedah sudah tentu akan menjadi pelapis bagi pendekatan sedemikian dengan kelab-kelab tanah air lain sudah tentu terbuka untuk mengikut langkah berkenaan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram