Penyokong Kedah lega tiket Piala FA murah, desak MFL ubah waktu sepak mula demi hormati solat maghrib


  • Podium
  • Isnin, 03 Jun 2024

Penyokong mula mempersoalkan waktu sepak mula yang akan bermula 6.30 petang dalam perlawanan Piala FA menentang Bukit Tambun pada 14 Jun nanti. — KDA FC

KEDAH Darul Aman FC membawa khabar gembira buat seluruh penyokong Sang Kenari apabila mengumumkan pengurangan harga tiket dalam perlawanan Piala FA pada 14 Jun nanti.

Sang Kenari dijadualkan bertemu pasukan dari Liga A1 Semi-Pro Malaysia, Bukit Tambun FC di Stadium Darul Aman, Kedah untuk menebus kekecewaan musim lalu dengan layak ke pusingan suku akhir.

Justeru itu, pihak pengurusan mengajak seluruh penyokong Hijau Kuning untuk memenuhkan stadium dengan pengurangan harga tiket serendah RM10.

BACA LAGI: Kelab Liga M wajar belajar dengan 'JDT Singapura' cara tarik pemain import berkualiti dari Eropah

BACA LAGI: Ramon Marcote petik Selangor, Kedah, Sabah dan kelab Pantai Timur calon kuat saingan JDT

Penyokong juga berpeluang menikmati perlawanan di tempat duduk Grandstand dengan serendah RM20 yang mana harga asal dua kali ganda lebih mahal dari harga tawaran.

Manakala untuk kanak-kanak bagi 12 tahun ke bawah pula ditawarkan dengan harga RM5 untuk semua zon (Grandstand, Pavilion dan Teres).

Kenyataan media yang dikeluarkan itu mengundang rasa gembira penyokong untuk turun beramai-ramai ke stadium tatkala ekonomi yang semakin mencabar ketika ini.

"Dengan erti kata, pihak pengurusan nak kita sebagai penyokong penuhkan stadium. Hasil pendapat boleh bantu kewangan pasukan," kata Reymond GP.

"Terbaik pihak pengurusan Kedah, kami sebagai penyokong setia amat menghargai kesungguhan pihak pengurusan," ujar Abu Fahreen.

"Kan bagus semua perlawanan harga macam ini, baru stadium penuh," luah Awie Alif.

Namun begitu, dalam kegembiraan penyokong Kedah menyambut seruan pihak pengurusan untuk turun ke stadium, timbul isu baharu membabitkan waktu sepak mula perlawanan.

Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) sudah menetapkan perlawanan antara Kedah dan Bukit Tambun akan bermula 6.30 petang pada 14 Jun itu yang tidak mendapat persetujuan ramai.

Rata-ratanya penyokong Kedah tidak bersetuju kerana sukar untuk mereka hadir ke stadium bagi melaksanakan solat maghrib.

"Harap penyokong buat bantahan besar-besaran supaya jadual mula perlawanan pukul 6.30 petang itu dapat diubah. Bimbang jika begini dibiarkan pada masa depan ia akan jadi kebiasaan sedangkan sangat tidak elok," kata Khairul Azimin.

"Siapa yang buat jadual lawan pukul 6.30 petang ini? Tak sensitif ke waktu maghrib?" soal Ajam Jijan.

"Kenapa perlawanan pukul 6.30 petang? Makin teruk jadual MFL ini," luah Budin Arfa.

"Maghrib, Isyak rapat sangat. Bukan 5.30 petang ke? Apa MFL buat jadual macam ini," jelas Shafiq Saad.

Sehingga kini masih tiada pengumuman rasmi daripada MFL ataupun pihak Kedah berhubung pindaan waktu sepak mula meskipun ramai penyokong Sang Kenari tidak berpuas hati. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram