[VIDEO] 'Tak rasa kaki', pemain lawan terjah Alif minta izin melawat


  • Podium
  • Isnin, 03 Jun 2024

Tangkap layar video keadaan Alif (kiri) selepas diterjah pemain lawan dalam kejohanan sembilan sebelah di Kampung Jeram Landak, Pahang pada Ahad.

SEORANG pemain amatur tular di media sosial selepas terpaksa menahan kesakitan akibat diterjah oleh pertahanan lawan dalam satu kejohanan di Kampung Jeram Landak, Pahang pada Ahad.

Kecederaan itu menyebabkan dia mengalami patah kaki dan sedang menerima rawatan di Hospital Kuala Lipis, Pahang.

Lelaki yang dikenali sebagai Alif Akhirizaman, 27, itu patah tulang kaki selepas lutut pertahanan lawan berlaga dengan ketingnya sehingga menyebabkan dia mengalami kecederaan serius di bahagian terbabit.

BACA LAGI: [VIDEO] Tackle tak fikir panjang, pemain bola patah kaki berisiko rosak saraf lepas kena 'sodok'

BACA LAGI: Penyokong Kedah lega tiket Piala FA murah, desak MFL ubah waktu sepak mula demi hormati solat maghrib

Seorang individu yang mewakili Alif berkata, pemain itu akan menjalani pembedahan dalam masa terdekat selepas mangsa mengadu tidak dapat rasa kaki yang patah itu.

"Menurut pihak hospital, Khamis ini, Alif perlu menjalani pembedahan kerana kecederaannya dikhuatiri terkait dengan fungsi saraf.

"Ini selepas Alif mengadu 'tidak rasa' kakinya yang patah, tetapi sekiranya keadaannya lebih teruk daripada itu, mungkin pembedahan kecemasan akan dijadualkan lebih awal dari Khamis (minggu ini)," katanya kepada Majoriti.

Terdahulu, Alif mengalami kecederaan patah kaki selepas beraksi menentang pasukan bola sepak daripada sebuah unit beruniform yang berpangkalan di Kuala Lipis.

Sementara itu, wakil terbabit juga memaklumkan, selepas insiden berkenaan, pasukan lawan ada membantu Alif memberi rawatan awal sementara menunggu unit perubatan tiba di lokasi kejadian.

"Pasukan unit beruniform itu ada ilmu asas bantu awal dan ambil kes seawal kecederaan sementara tunggu ambulans sampai.

"Orang awam di sekitar venue kejohanan tiada ilmu untuk uruskan insiden patah sebegitu.

"Malah, menurut laporan saksi kejadian ada memberitahu sepasang suami isteri unit beruniform itu memang terlibat dalam hal 'medic' dan memberikan bantuan secukupnya kepada Alif," jelasnya.

Menurutnya lagi, pihak lawan yang menerjah Alif ada menghubungi untuk melawat mangsa tetapi keluarga belum bersedia buat masa ini dan mahu tempoh bertenang.

"Individu berkenaan ada WhatsApp lebih awal dan minta kebenaran untuk melawat tapi keluarga tak beri izin lagi.

"Pihak keluarga mahu beri tempoh bertenang buat Alif.

"Pihak Alif sendiri pun sudah reda dengan perkara yang berlaku, (mereka berasa) ralat tapi itulah ketentuannya," jelasnya.

Insiden yang berlaku kepada Alif itu juga mendapat perhatian Ahli Parlimen Cameron Highland, Datuk Dr. Ramli Mohd Nor yang telah menghubungi keluarga mangsa. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram