Mungkin dihantar pihak ketiga, siasat segera dakwaan kontena Israel berlabuh di Iskandar Puteri — Ahmad Zahid


  • Primer
  • Ahad, 02 Jun 2024

Sebuah pelabuhan di Iskandar Puteri didakwa menerima masuk kontena-kontena dari sebuah syarikat perkapalan Israel. — Gambar Hiasan

SIASATAN terhadap dakwaan kewujudan kontena syarikat perkapalan yang berpangkalan di Israel, ZIM, di sebuah pelabuhan di Iskandar Puteri, Johor perlu disegerakan, kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Ahmad Zahid berkata, negara ini sangat terikat kepada dasar kerajaan iaitu tiada hubungan diplomatik dengan Israel, selain tiada sebarang perjanjian perdagangan dengan kerajaan Zionis itu.

Beliau berkata, jika ada barangan Israel di mana-mana pelabuhan di Malaysia dengan menggunakan pihak ketiga, maka perkara itu harus dipantau pihak berkuasa.

BACA LAGI: Bekas Datuk Bandar MBJB didakwa terima rasuah lebih RM1.5 juta

BACA LAGI: 'PADU jadi apa?', Ketua Pemuda PAS persoal kenapa rakyat perlu daftar BUDI pula?

"Saya fikir pihak lembaga pelabuhan dan pihak kastam harus bertindak dengan segera kerana kita tahu apa yang berlaku ini bukan hanya soal perdagangan tetapi soal bagaimana peraturan-peraturan yang begitu ketat telah terbolos dengan adanya barangan itu (kontena) untuk memasuki salah sebuah pelabuhan kita.

"Siasatan jika betul atau tidak mesti disegerakan,” katanya pada sidang media selepas melancarkan pengoperasian Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bagan Datuk di Hutan Melintang, Perak pada Ahad.

Sebelum ini, media melaporkan kewujudan kontena itu menimbulkan tanda tanya dalam kalangan penduduk sekitar.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Iskandar, Datuk Pandak Ahmad dilaporkan berkata beliau terkejut apabila menerima aduan penduduk prihatin yang mendakwa pelabuhan berkenaan masih menerima masuk kontena yang dibawa dari Israel. — The Star

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram