[VIDEO] Cepat 'koyak' atas padang, budak jersi no 4 tiru gaya Cantona protes kena layang kad aksi bola sepak Bawah 8 Tahun


  • Podium
  • Ahad, 02 Jun 2024

Tangkap layar daripada klip keganasan dilakukan kanak-kanak berkenaan ketika perlawanan tersebut.

PERKEMBANGAN bola sepak di peringkat belia sememangnya sesuatu yang cukup penting kerana ia dapat membantu mencungkil bakat muda dengan masing-masing kemudiannya akan dibawa masuk ke kelab profesional.

Namun, pelbagai cabaran perlu dihadapi barisan kejurulatihan memandangkan 'ubi muda' sering berdepan kesukaran untuk mengawal perasaan, lebih-lebih lagi ketika mengalami kekalahan.

Contoh terbaik dapat disaksikan adalah dalam satu perlawanan tular baru-baru ini apabila dua pasukan yang difahamkan beraksi dalam kejohanan Bawah 8 Tahun (B-8) terlibat dalam satu kontroversi.

BACA LAGI: Ledak gol lawan kelab Sepanyol, pemain belia JDT ada 'vibe' Kunanlan

BACA LAGI: Lepas gagal ke Liga Super, Perlis United tiba-tiba tarik diri Piala Belia

Dalam video yang dikongsikan di media sosial, kelihatan pasukan berbaju kuning berdepan lawan berbaju putih dengan aksi tersebut diadakan di hadapan ibu bapa pemain.

Bagaimanapun, perlawanan itu dicemari dengan sikap tidak profesional seorang pemain yang mengenakan jersi nombor empat selepas dia dengan sengaja melakukan kekasaran sebanyak tiga kali.

Klip pertama memaparkan dia yang tidak beraksi secara tiba-tiba memasuki padang dan cuba menendang lawannya sebelum terpaksa dikeluarkan selain membuatkan aksi terhenti seketika.

Kelakuannya itu seakan-akan mirip dengan gaya tendangan kung fu pernah dilakukan bekas kapten Manchester United, Eric Cantona pada 1995 terhadap penyokong Crystal Palace.

Bagaimanapun, kekasaran berkenaan tidak sepatutnya berlaku dalam dunia bola sepak hari ini, lebih-lebih lagi dalam kalangan 'ubi muda' yang baru sahaja didedahkan dengan sukan terbabit.

27356455_1787862504594286_2545565847111803104_o

Cantona pernah terkenal akibat tendangan kung fu terhadap penyokong. Agensi

Selepas itu, pemain muda tersebut dengan sengaja menumbuk belakang lawannya selepas gawangnya dibolosi, namun pengadil tidak mengambil sebarang tindakan terhadapnya.

Dia juga boleh dikatakan bernasib baik kerana kekasaran dilakukan tersebut tidak mencetuskan sebarang pergaduhan, baik dalam kalangan pemain mahupun ibu bapa.

Tidak cukup dengan itu, pemain berkenaan sekali lagi menjadi tumpuan perlawanan selepas membuat satu terjahan keras sehingga menyebabkan kecederaan terhadap lawan.

Muak akan sikap pemain tersebut, pengadil akhirnya memilih untuk melayangkan kad kuning sehingga mengakibatkan pemain berbaju kuning itu berteriak kerana tidak dapat menerima hukuman dialaminya.

Dia kemudiannya dibawa keluar padang sekali lagi oleh penjaganya dengan kesemua kelakuan tidak matang ditunjukkannya membuatkan orang ramai mempersoalkan masa depannya.

Setakat ini, lokasi dan latar belakang pemain berkenaan masih belum diketahui dengan Majoriti akan mengemas kini sebarang informasi ditemui di media sosial. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram