JUARA 10 kali berturut-turut Liga Super, Johor Darul Ta'zim (JDT) mengekalkan momentum kemenangan di bumi Sepanyol selepas mudah membelasah Club Costa City 7-0 di Stadium Olimpik Camilo Cano, Alicante, Sepanyol pada Isnin.
Kenduri gol di negara Eropah itu bertambah manis apabila semua jaringan yang dihasilkan dicetak oleh pemain tempatan termasuklah beberapa ubi muda Akademi JDT seperti Gabriel Nistelrooy dan G. Pavithran.
Penyerang sayap kanan, Ramadhan Saifullah meledak hatrik (6', 65', 73'), Nazmi Faiz sebagai perancang berpengalaman menyumbang satu gol, Gabriel pula menambah derita Costa City dengan dua gol peribadi dan Pavithran turut mencetak dengan satu gol bersama skuad senior.
Keberanian pengendali Harimau Selatan, Hector Bodiglio yang berani mencuba pemain muda dari skuad Piala Belia seperti Pavithran wajar mendapat pujian dan ia juga semakin membuktikan kualiti ubi Akademi JDT boleh bersaing dengan tonggak import.
Bercakap mengenai Pavithran, pemain muda ini boleh dilabel sebagai bintang dalam pembikinan Harimau Selatan selepas dia merupakan watak utama yang membantu skuad JDT IV menjadi naib johan Piala Belia 2023.
Prestasi cemerlangnya bersama JDT IV membuatkan dia terpilih untuk menyertai kempen pramusim di Sepanyol bersama Ridzwan Rosli (JDT IV); Zulhilmi Sharani dari JDT III dan dua pemain dari skuad Piala MFL iaitu Hafiz Azizi Zamri dan Gabriel.
BACA LAGI: Tanpa Brendan Gan, Selangor beri bayangan kapten Gergasi Merah baharu
Pavithran dipercayai mampu debut bersama pasukan senior pada Liga Super 2024. — Facebook/JDT
BACA LAGI: Anak buah Tan Cheng Hoe antara 3 kelab boleh uji persiapan Gergasi Merah
Kehadiran pemain berusia 19 tahun itu juga membuatkan sesetengah penyokong Harimau Selatan melihatnya mempunyai persamaan seperti legenda Harimau Selatan, S. Kunanlan kerana berperanan sebagai pemain tengah.
Walaupun Kunanlan lebih dikenali beraksi di posisi bek kanan namun pemain yang membantu Harimau Selatan memenangi Piala AFC 2015 itu juga beraksi sebagai tonggak tengah dan penyerang sayap kanan.
"Kecemerlangan di posisinya dilihat semakin mantap memberikannya peluang cerah diserap ke dalam skuad utama pasukkan JDT.
"Namun banyak lagi yang perlu ditunjukkannya dari segi larian, mengelecek, kawalan bola serta hantaran bola kepada rakan sepasukan selain kecergasan diri bagi mendapatkan kepercayaan jurulatih.
"Tidak mustahil dia juga boleh menggantikan posisi S. Kunanlan andai diberi peluang tersenarai dalam kesebelasan utama JDT," kata penyokong Harimau Selatan, HRV Miky.
"Wow. S. Kunalan yang baharu dan mungkin lebih hebat. Good luck Pavithran," bagi penyokong JDT, Saadon Marban yang positif kualiti pemain muda itu boleh menjadi semakin baik jika rajin mendapatkan ilmu daripada pemain senior dan jurulatih.
Dalam pada itu, kempen pramusim JDT di Sepanyol akan diteruskan dengan empat perlawanan persahabatan sebelum pulang ke Iskandar Puteri untuk melayan kunjungan Selangor FC bagi aksi pembukaan Piala Sumbangsih pada 10 Mei 2024. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram