PERKEMBANGAN mengecewakan diterima penyokong bola sepak negara selepas penjaga gol utama, Syihan Hazmi terpaksa menarik diri daripada baki dua aksi Kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027.
Dia yang merupakan tonggak utama barisan pertahanan sudah tentu akan dirindui meskipun Harimau Malaya masih memiliki Kalamullah Al-Hafiz, Azri Ghani dan Sikh Izhan Nazrel sebagai pengganti.
Namun, ketiga-tiga pengganti itu tidak mempunyai kaliber sebaik Syihan yang beraksi cukup baik sejak menyertai Johor Darul Ta'zim (JDT) pada 2023.
BACA LAGI: Kecederaan Syihan mula diragui, 2 GK dilabel 2x5 kerap 'simple mistake' depan gol Harimau Malaya
BACA LAGI: 'Win-win situation', Izham Tarmizi boleh bantu Syihan Hazmi jika turun berdepan The Jang
Syihan merupakan penjaga gol utama Harimau Malaya ketika ini. — Facebook/FAM
Situasi berkenaan sekali gus menyaksikan penyokong bola sepak negara berasa sangsi memandangkan peamin skuad Harimau Selatan seakan-akan tidak mahu memberikan komitmen 100 peratus buat skuad kebangsaan.
Ini berikutan keengganan juara Liga Super itu untuk melepaskan lima pemain lain seperti Corbin Ong dan Matt Davies ke kem latihan Kim Pan-gon berbaki beberapa hari sebelum aksi menentang Kyrgyzstan di tempat lawan.
Tetapi, pemikiran sedemikian sepatutnya tidak dilaungkan memandangkan sejak kemunculan JDT pada 2013, mereka sering menyediakan pemain utama bagi kegunaan Harimau Malaya.
Antara yang berada dalam kategori tersebut ialah penjaga gol senior, Farizal Marlias dengan pemain kelahiran Pahang tersebut beberapa kali menjadi watak utama pasukan.
Salah satu momen tertinggi buat pemain yang kini berusia 37 tahun itu adalah apabila diberikan kepercayaan untuk memakai lilitan tangan kapten, terutamanya pada kemuncak kariernya.
Farizal merupakan tonggak utama Harimau Malaya sepanjang beberapa tahun.
Aksi persahabatan menentang Nepal di Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur pada 2019 adalah contoh terbaik selepas pengendali skuad kebangsaan, Tan Cheng Hoe memilihnya dalam aksi persiapan terbabit.
Meskipun memiliki lambakan pemain dengan kredibiliti sebagai pemimpin, gaya dan personaliti Farizal menyaksikannya dipilih untuk memikul tanggungjawab itu di samping menjadi barisan pertahanan terakhir skuad kebangsaan.
Lebih manis lagi, kelibat penjaga gawang berkenaan membawa keputusan memberangsangkan selepas Harimau Malaya membenam lawan mereka dengan keputusan 2-0 di hadapan penyokong sendiri.
Gol daripada Safawi Rasid dan Norshahrul Idlan Talaha jelas sudah cukup untuk meraih kemenangan yang sekali gus menyuntik motivasi buat pemain dalam aksi seterusnya.
Meskipun masih belum mengumumkan persaraannya daripada pentas antarabangsa, kelibat Farizal kini sudah tidak lagi diperlukan selepas Syihan muncul dengan masa depan cerah buat Harimau Malaya.
Bagaimanapun, sikap kepimpinannya masih sukar dilupakan dengan dia sesuai untuk diletakkan dalam senarai kapten berpengaruh buat Harimau Malaya sebaris dengan bekas pemain lain. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram