SETAKAT tiga minggu saingan Liga Super 2024/25 berlangsung, beberapa pemain mula menarik perhatian apabila sumbangan masing-masing cukup penting di mata penyokong.
Meskipun musim baru sahaja bermula, petanda awal diberikan mereka sudah tentu diharapkan mampu diteruskan untuk membawa pasukan diwakili berada di tahap lebih baik berbanding sebelum ini.
Reziq Bani Hani, Juan Muniz dan Manuel Hidalgo merupakan antara wajah-wajah yang menjadi bualan kerana kesemua daripada mereka tidak memerlukan masa untuk menyesuaikan diri.
BACA LAGI: 'Defend' bocor buatkan kemenangan Selangor ke atas Sabah kurang sempurna
BACA LAGI: Bek persis Josko Gvardiol bantu benteng Sang Penyu kukuh di carta Liga Super
Kedudukan Liga Super selepas tiga minggu perlawanan. — Facebook/MFL
Bagaimanapun, di sebalik kemeriahan itu, terdapat beberapa kelab yang kecewa selepas saingan bermula memandangkan sebahagian daripada tonggak diharapkan tidak membawa pulangan berbaloi.
Luahan itu diajukan terhadap pemain, baik yang baru sahaja dibawa masuk atau sudah memasuki musim kedua dengan tumpuan lebih diberikan terhadap mereka yang sudah berusia.
Selain tidak dapat beraksi di tahap terbaik seperti mana diharapkan, masing-masing boleh dianggap sudah melepasi kemuncak karier dan dirasakan sepatutnya ditunjukkan jalan keluar selepas ini.
Berdasarkan pemerhatian Majoriti, berikut merupakan tiga 'kuda tua' yang menjadi punca keluhan penyokong sehingga ada yang mendesak pihak pengurusan untuk melepaskan mereka pada jendela perpindahan akan datang.
1. Kpah Sherman (Sri Pahang FC)
Pada jendela perpindahan lalu, skuad Tok Gajah mengambil keputusan untuk membawa penyerang dari Ukraine, Mykola Ahapov supaya penjaring terbanyak pasukan 2023, Kpah Sherman tidak terlalu terbeban.
Bagaimanapun, kepercayaan besar masih diletakkan pengendali kelab, Fandi Ahmad terhadap Kpah dengan dia diturunkan dalam kedua-dua aksi Liga Super musim ini.
Pendekatan itu sedikit sebanyak dipersoalkan memandangkan Sri Pahang FC masih belum berada di tahap terbaik dari segi serangan apabila hanya tiga gol dijaringkan.
Sumbangan lebih baik sudah tentu diharapkan Kpah buat skuad Tok Gajah. — Facebook/Sri Pahang FC
Malah, kesemua jaringan itu dihasilkan Hidalgo dan Stefano Brundo, sekali gus membuktikan Kpah masih belum berada di tahap terbaik sejak Liga Super 2024/25 dimulakan.
Jadi, keputusan ketua jurulatih itu untuk meletakkan penyerang antarabangsa Liberia berkenaan sudah tentu menimbulkan persoalan, lebih-lebih lagi dengan usianya sudah semakin lanjut.
Kelibatnya yang kerap turut menyaksikan penyokong beberapa kali mendesak pihak pengurusan untuk melepaskan pemain tinggi lampai terbabit pada jendela perpindahan akan datang.
2. Tchetche Kipre (Kuching City FC)
Penyerang kelahiran Ivory Coast, Tchetche Kipre masih mempunyai nilai dalam saingan Liga Super apabila khidmatnya masih ditagih selepas tujuh tahun mewarnai arena bola sepak tanah air.
Ini dapat disaksikan pada jendela perpindahan lalu selepas dia secara rasmi bergabung semula dengan bekas pengendalinya, Aidil Sharin Sahak di Kuching City FC dengan masing-masing pernah bersama-sama di Kedah.
Tetapi, melihat kepada usianya yang sudah mencecah 36 tahun, adalah lebih baik sekiranya pemain berkenaan mengundurkan diri dan memberi ruang buat pemain lebih muda.
Tchetche (atas) tidak lagi mempunyai kelincahan seperti dahulu. — Facebook/Kuching City FC
Meskipun sudah membuka akaun jaringannya buat skuad The Cats, kelincahan dan pergerakannya sudah semakin terhad dengan dia semakin sukar untuk melepasi benteng pertahanan lawan.
Jadi, sekiranya kelab Borneo itu mahu melangkah lebih jauh, keputusan drastik perlu diambil dengan menggugurkan Tchetche dan slotnya diberikan kepada peledak muda.
Pendekatan sedemikian sudah tentu disokong penyokong Kuching City yang semakin teruja untuk memberi sorakan terhadap pasukan selepas satu perbelanjaan besar dibuat.
3. Brendan Gan (KL City FC)
Prestasi suam-suam kuku terus dialami Kuala Lumpur (KL) City FC dalam saingan Liga Super selepas kelab berkenaan hanya meraih satu mata daripada dua perlawanan.
Meskipun sudah membawa masuk beberapa nama besar, kesukaran untuk mendapatkan keserasian menjadikan mereka bergelut, termasuk ketika tewas 1-5 di laman sendiri kepada Johor Darul Ta'zim (JDT).
Salah seorang rekrut yang sudah tentu diharapkan dapat membawa kelainan buat skuad Warga Kota sudah tentu tonggak Harimau Malaya, Brendan Gan selepas pemain itu ditandatangani dari seteru Lembah Klang, Selangor FC.
Brendan Gan disambar skuad Warga Kota dengan harapan tinggi. — Facebook/Kuala Lumpur City
Namun, setakat ini, pemain berusia 36 tahun itu masih belum mendapatkan rentak buat pasukan kendalian Miroslav Kuljanac yang berada di tangga ke-10 Liga Super.
Jadi, penyokong sudah tentu mahukan nafas baharu dalam pasukan, lebih-lebih lagi untuk menutup ruang dan membantu pertahanan ketika serangan cuba dilancarkan.
Tetapi, dengan Brendan Gan mempunyai reputasi tersendiri, adakah KL City FC akan membuat keputusan drastik dengan melepaskannya pada jendela perpindahan kedua Liga Super 2024/25? — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram