MALAYSIA bakal mempunyai wakil dalam acara beregu wanita untuk acara badminton di Sukan Olimpik 2024 yang akan diadakan di Paris, Perancis pada Ogos.
Gandingan Pearly Tan-M. Thinaah berjaya melayakkan diri ke Sukan Olimpik untuk memastikan cabaran memburu pingat emas dari acara badminton berjaya direalisasikan setelah lama mencuba.
Pearly-Thinaah akan bersama-sama perseorangan lelaki Lee Zii Jia, perseorangan wanita, Goh Jin Wei, beregu lelaki Aaron Chia-Soh Wooi Yik dan beregu campuran Chen Tang Jie-Toh Ee Wei.
Peluang untuk memburu pingat itu ada tetapi kerisauan terhadap beregu wanita itu adalah terhadap rekod kecederaan mereka yang meragukan kebelakangan ini.
Bagi memastikan isu tersebut tidak menganggu persiapan, beberapa langkah perlu diambil untuk memastikan gandingan Pearly-Thinaah berada pada tahap terbaik untuk menggegar di Paris.
Menurut pakar perubatan dari Institut Sukan Negara (ISN), Dr Jasmiza Khuzairi Jasme, satu perkara yang perlu dipuji mengenai persiapan beregu ini adalah apabila Persatuan Badminton Malaysia (BAM) memilih untuk tidak menghantar mereka ke Piala Uber yang akan diadakan di China pada Mei.
Menurutnya, keputusan mengorbankan satu kejohanan itu satu tindakan tepat bagi menjaga keadaan fizikal kedua-dua pemain. Buat masa sekarang, Jasmiza mengesahkan kedua-dua pemain itu bebas daripada kecederaan.
Pada hematnya, pasangan beregu itu perlu mengambil sebanyak masa yang perlu bagi memastikan mereka benar-benar bersedia untuk Sukan Olimpik.
BACA LAGI: Status ke Piala Uber masih tergantung, Pearly-Thinaah terima apa saja keputusan BAM
Pearly-Thinaah jadi wakil tunggal beregu wanita Malaysia ke Sukan Olimpik. — Agensi
"Dari sudut perubatan, bagi saya itu adalah satu langkah yang wajar. Hal ini kerana, Pearly dan Thinaah seharusnya meletakkan fokus mereka kepada Sukan Olimpik.
"Tambahan pula, tempoh (menjelang Sukan Olimpik) adalah sangat penting untuk kedua-dua pemain memantapkan lagi aspek fizikal mereka," kata Jasmiza kepada Majoriti.
Jasmiza turut berkata dengan mengorbankan kejohanan lain demi Sukan Olimpik dapat membentuk semula corak latihan yang bakal dilalui gandingan tersebut.
Apabila ada jarak masa yang lama, intesiti latihan boleh dikawal dengan tidak semuanya diadakan dengan terlalu keras atau ringan.
"Pada masa yang sama, intesiti latihan dapat dikawal kerana tidak menyertai banyak kejohanan dalam masa singkat. Mereka juga boleh melakukan proses pemulihan yang optimum selepas latihan hasil bantuan pegawai fisio dan pemulihan di ISN," tambah Jasmiza lagi.
BACA LAGI: [VIDEO] Lepas ganti seluar koyak, legenda Indonesia terus sumbat gol kemenangan Gergasi Merah
Jasmiza menyokong keputusan BAM tidak menyenaraikan Pearly-Thinaah ke Piala Uber. — PFA Malaysia
Aspek fizikal sudah berada pada tahap yang baik, tetapi mental juga perlu seiring. Bakal berdepan tekanan tinggi di Paris, sudah semestinya Pearly-Thinaah harus cukup bersedia supaya tidak mudah rebah dalam perang saraf menentang pemain lain.
Berada dalam program Road To Gold jelas membantu beregu tersebut dengan mereka memperoleh bantuan pakar terbaik sebagai persiapan di Paris kelak.
"Pihak BAM dengan bantuan program Road To Gold telah menyerapkan pakar psikologi yang telah berkhidmat utk Datuk Lee Chong Wei dahulu utk memberi perkhidmatan psikologi sukan bermula hujung tahun 2023.
"Pakar tersebut telah memulakan perkhidmatan dan telah bersama dengan pasukan badminton di BAM. Sesi-sesi psikologi difahamkan telah dilaksanakan secara berjadual di BAM," jelas Jasmiza lagi.
Dengan kedua-duanya diberikan penjagaan yang terbaik menjelang Sukan Olimpik, peluang untuk menyaksikan Pearly-Thinaah menampilkan persembahan cemerlang di Paris boleh menjadi nyata.
Semoga kedua-duanya tidak terbeban dengan isu kecederaan terutamanya menjelang aksi penting di Paris kelak. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram