Selain Rizal-Saddil, 3 lagi gandingan tempang tercari-cari 'chemistry'


  • Podium
  • Selasa, 14 Mei 2024

Sabah FC gagal memanfaatkan bermain di laman sendiri apabila sekadar meraih keputusan seri tanpa jaringan ketika melayan kunjungan Penang FC. — Facebook/Sabahfc

SAINGAN Liga Super 2024/25 membuka tirainya dengan lima perlawanan sudah berlangsung yang menyaksikan setiap pasukan mempunyai cerita tersendiri.

Aksi pembukaan Liga Malaysia (Liga M) yang sepatutnya menyaksikan pertembungan antara Johor Darul Ta'zim (JDT) dan Selangor FC tidak diadakan berikutan pelawat mengambil keputusan untuk tidak hadir ke Stadium Sultan Ibrahim (SSI), Johor pada Jumaat atas faktor keselamatan.

Ia susulan kes serangan simbah asid terhadap pemain Gergasi Merah, Faisal Halim yang berlaku di sebuah pusat membeli-belah di Petaling Jaya pada awal bulan ini.

Meskipun ada penyokong yang kecewa dengan keputusan Selangor tersebut namun kekecewaan mereka diubati dengan aksi beberapa kelab seperti Kedah Darul Aman (KDA) FC, Sri Pahang FC, Terengganu FC, Sabah FC dan Kuala Lumpur (KL) City FC.

BACA LAGI: MFL sudah jangka, sedia cari jalan penyelesaian isu teknikal VAR

BACA LAGI: Lepas 4 hari pembedahan, kulit dari Belgium sesuai untuk Faisal Halim

WhatsApp Image 2024-05-13 at 18.46.58

Beraksi bersama Sang Kenari ketika ini, Sony (tengah) dilihat banyak membuat hantaran kepada rakan sepasukan namun gagal mencipta peluang sendiri. Facebook/KDAFC

Sabah FC gagal memanfaatkan bermain di laman sendiri apabila sekadar meraih keputusan seri tanpa jaringan ketika melayan kunjungan Penang FC bagi aksi pertama Liga Super pada Ahad.

Perlawanan yang berlangsung di Stadium Likas, Kota Kinabalu itu menyaksikan jentera serangan Sang Badak gagal menembusi benteng pertahanan Harimau Kumbang untuk menyumbat gol.

Susulan itu, nama pemain import Indonesia, Saddil Ramdani menjadi perbincangan penyokong The Rhinos apabila dilihat mengalami kesukaran untuk berkomunikasi dan kurang serasi bergandingan bersama Ko Kwang-min.

Nama bek kanan Sang Kenari, Rizal Ghazali kembali menjadi sebutan kerana sebelum ini sering menampilkan persembahan cemerlang setiap kali digandingkan dengan Saddil.

Selain gandingan mereka, Majoriti menyenaraikan tiga lagi pemain yang dilihat mengalami kesukaran untuk berkomunikasi dan mencipta chemistry.

1) Sony Norde rindukan Ivan Mamut

Selepas mengambil keputusan meninggalkan Sang Penyu musim lalu dan menyertai KDA FC, Sony Norde dalam aksi pertama Liga Super dilihat sukar untuk mencipta jaringan bersama pasukan baharunya.

Bermain bersama Sang Kenari ketika ini, Sony dilihat banyak membuat hantaran kepada rakan sepasukan namun gagal mencipta peluang sendiri.

Meskipun menghidangkan peluang buat Syafiq Ahmad menjaringkan gol terpantas musim ini, pemain kelahiran Haiti itu kelihatan berdepan kesukaran untuk membantu jentera serangan skuad Sang Kenari.

Ini kerana sebelum ini, Sony mencipta gandingan berbisa bersama Ivan Mamut di skuad Sang Penyu sehingga mereka menjadi sebutan rata-rata penyokong TFC.

Musim lalu, Sony mencetak enam gol dan mencipta sembilan assist, manakala Mamut meledak 22 gol dan satu hantaran bantuan dalam saingan Liga M.

Jadi, ini sudah cukup untuk menjelaskan bahawa Sony cukup merindui kelibat penyerang kelahiran Croatia yang sering menyudahkan setiap peluang yang dihidangkannya.

Seo Perak

Seonung (dua kanan) mencetak membantu Perak FC mencetak tujuh gol musim lalu. Facebook/Perakfc

2) Luka Milunovic rindukan Seo Seonung

Skuad kendalian Yusri Che Lah terpaksa akur dengan kekalahan pertama selepas tewas 1-3 kepada Terengganu FC pada Sabtu.

Kekalahan itu sekali gus membuat para penyokong mula menyebut gandingan berbisa Perak musim lalu.

Nama gandingan yang dimaksudkan ialah dua pemain import, Seo Seon-ung dan Luka Milunovic yang kembali disebut-sebut selepas penyokong kecewa dengan prestasi yang ditunjukkan Perak dalam aksi pertama Liga Super 2024.

Luka yang menyertai skuad The Bos Gaurus (TBG) pada jendela perpindahan kedua musim lalu kelihatan sedikit buntu dalam perlawanan itu berikutan ketiadaan gandingannya itu.

Kehilangan Seonung boleh dikatakan sebagai punca Perak FC goyah dalam aksi di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Terengganu, lebih-lebih lagi selepas penyerang muda itu mencetak lapan gol dan satu assist dalam semua kejohanan.

WhatsApp Image 2024-05-13 at 18.53.10

Kpah (kanan) masih belum membuka akaun jaringan musim ini. — Facebook/Sripahangfc

3) Kpah Sherman rindukan Nor Azam Azih

Meksipun meraih tiga mata dalam perlawanan pertama berdepan Kelantan Darul Naim (KDN), namun keputusan itu pastinya belum berada pada tahap yang diinginkan oleh jurulatih.

Sri Pahang terpaksa berpuas hati dengan satu jaringan apabila penyerang import, Manuel Hidalgo berjaya menghasilkan jaringan menerusi sepakan percuma.

Susulan jaringan tunggal tersebut, ramai penyokong mula mengimbau kembali gandingan antara Kpah Sherman dan Nor Azam Azih.

Gandingan tersebut sering menyajikan aksi persembahan yang memukau apabila kedua-dua mereka bijak mencipta peluang di depan pintu gol.

Meskipun Azam masih lagi bersama skuad Tok Gajah, dia tidak dapat diturunkan dalam perlawanan berkenaan berikutan kecederaannya yang masih belum pulih sehingga kini.

Musim lalu, Kpah mencetak 14 gol dan tujuh assists, manakala Azam Azih mencipta dua jaringan dan tiga assists saingan Liga M. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram