AKSI persahabatan RCTI Premium Sports menyaksikan Selangor FC meraih kemenangan dalam perlawanan pembukaan ketika berdepan sebuah lagi pasukan Liga Super, Sabah FC di Stadium Antarabangsa Jakarta, Indonesia pada Khamis.
Gol daripada Aliff Haiqal Lau dan Yohandry Orozco dan jaringan sendiri Park Tae-su memastikan kejayaan berpihak kepada skuad Gergasi Merah sementara gol lawan disumbang Saddil Ramdani dan Jefri Firdaus Chew.
Kemenangan itu sudah tentu membuatkan penyokong skuad Gergasi Merah berpuas hati dengan prestasi semasa kelab Lembah Klang yang turut disaksikan dalam Liga Super.
BACA LAGI: MFL perlu segera tetapkan hukuman tepis persepsi 'sengaja rosakkan rentak Selangor FC
BACA LAGI: Masih belum puas, Orozco laung amaran ini hanya permulaan buat Selangor
Orozco sekali lagi menjadi watak utama buat skuad Gergasi Merah. — Facebook/Selangor FC
Tetapi, sesetengah daripada mereka masih berasa kecewa atas persembahan anak-anak buah Nidzam Jamil meskipun pertembungan itu hanyalah aksi persahabatan sementara kalendar FIFA dibuka.
Ini kerana mereka menganggap kelekaan benteng pertahanan pada babak kedua membolehkan skuad Sang Badak mengikat kedudukan sebelum Orozco menjaringkan gol kemenangan.
Masalah itu sudah tentu membuatkan pengikut setia pasukan sedikit gusar selain mendesak agar barisan kejurulatihan pasukan mencari jalan bagi memastikan isu sedemikian tidak berulang.
"Tahniah menang. Tetapi dua gol Sabah itu, adoi. Pertahanan tidak berikan 100 peratus. Walaupun hanya pertandingan persahabatan, inilah masanya untuk tunjukkan kehebatan dan berikanlah komitmen sehingga 150 peratus," kata Kieranto Marcello.
"Okey sudah untuk pertandingan jemputan. Namun, dua gol Sabah itu jelas nampak pertahanan tidak peka. Saddil dan Jefri sepatutnya dijaga lebih rapat. Apa-apa pun, pendedahan baik untuk pemain simpanan," kata FlyArie Azhari Azman.
Safuwan tidak bersama skuad Gergasi Merah dalam aksi persahabatan itu. — Facebook/Selangor FC
"Apabila Sabah masukkan Saddil, terus mereka skor. Harap Selangor dapat mantapkan lagi pertahanan mereka untuk perlawanan akan datang. Tahniah," kata Siti Nazurah Abd Moin.
Dalam perlawanan berkenaan, Harith Haiqal dan Ahmad Khuzaimi Piee diletakkan sebagai bek tengah sementara V Ruventhiran dan Quentin Cheng masing-masing beraksi sebagai bek sayap.
Perubahan itu berikutan ketiadaan tonggak utama, Umarbek Eshmurodov dan Safuwan Baharudin dipanggil mewakili negara sendiri dengan Fazly Mazlan serta Sharul Nazeem Zulpakar direhatkan.
Selepas ini, Selangor FC bakal berdepan sama ada PSIS Semarang atau Persija Jakarta yang bakal berdepan pada Khamis dalam perlawanan akhir yang diadakan di venue sama.
Harapan tinggi sudah tentu diletakkan penyokong skuad Gergasi Merah dalam pertandingan tersebut dengan kejayaan mampu menyuntik semangat bagi mereka musim ini. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram