Masih gagal daftar PERKESO, 15 pasukan Liga M berisiko kena kompaun, dakwa selepas 30 Jun depan


  • Podium
  • Jumaat, 31 Mei 2024

Pada 13 Mei lalu, Majoriti melaporkan sebanyak 15 kelab Liga M dikesan tidak tersenarai dalam rekod pendaftaran.

SEBANYAK 15 pasukan bola sepak Liga Malaysia (Liga M) yang sebelum ini dilaporkan masih tidak mendaftar di bawah Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) berisiko berdepan kompaun dan pendakwaan sekiranya gagal melaksanakan proses tersebut sebelum 30 Jun depan, iaitu selepas tamat Bulan Pemutihan.

PERKESO pada Rabu memaklumkan, kesemua pasukan terbabit didapati masih belum melakukan pendaftaran di sebalik kemudahan yang disediakan itu.

Sepanjang tempoh Bulan Pemutihan, majikan yang mendaftar pekerja mereka bawah Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969 (Akta 4) dan Akta Sistem Insurans Pekerjaan 2017 (Akta 800) dikecualikan daripada dikenakan kompaun, pendakwaan dan Faedah Caruman Lewat Bayar (FCLB).

BACA LAGI: Enam inisiatif PERKESO pemangkin pertumbuhan pekerjaan baharu, rungkai kelompangan jaringan perlindungan sosial

BACA LAGI: 1.45 juta pekerja terima manfaat peningkatan siling gaji bulanan bagi caruman Perkeso kepada RM6,000

Terdahulu, Menteri Sumber Manusia, Steven Sim Chee Keong mengumumkan tempoh pendaftaran dan caruman pekerja sepanjang Bulan Pemutihan yang bermula pada 15 Mei lalu dilanjutkan selama 30 hari sehingga 30 Jun 2024.

Human Resource Minister Steven Sim Chee Keong delivering his speech at Penang Socso headquarters in Seberang Jaya during his maiden visit as minister. (January 8,2024) —ZHAFARAN NASIB/The Star.

Menteri Sumber Manusia, Steven Sim Chee Keong.

Pada 13 Mei lalu, Majoriti melaporkan sebanyak 15 kelab Liga M dikesan tidak tersenarai dalam rekod pendaftaran PERKESO.

Daripada senarai tersebut, sembilan daripadanya terdiri daripada kelab amatur, lima skuad saingan Liga A1 Semi Pro (M3) dan satu pasukan melibatkan kejohanan Piala MFL.

Dalam kalangan 15 pasukan berkenaan, sebuah kelab terbabit turut mempunyai reputasi tersendiri apabila pernah dinobat juara Liga A1 Semi Pro dan pernah dipertimbangkan untuk memasuki saingan Liga Super.

Sehubungan itu, PERKESO menggesa majikan, termasuk dalam kalangan barisan pengurusan kelab bola sepak tempatan untuk memanfaatkan tempoh pelanjutan Bulan Pemutihan, sebelum tindakan penguatkuasaan dijalankan.

Badan berkanun yang bertanggungjawab menyelia aspek perlindungan sosial itu turut memberi peringatan bahawa pihaknya tidak akan berkompromi dengan mana-mana majikan yang didapati masih culas dalam menunaikan hak pekerja.

Untuk rekod, majikan yang gagal mendaftar dan mencarum boleh dikenakan tindakan kompaun dan pendakwaan dengan jumlah kompaun dikenakan boleh mencecah RM5,000 mengikut kesalahan yang dilakukan.

Pada masa sama, majikan juga akan dikenakan Faedah Caruman Lewat Bayar (FCLB) pada kadar enam peratus setahun di atas setiap hari caruman lewat dibayar, ekoran kegagalan mendaftar dan membayar caruman PERKESO, selain boleh didakwa di mahkamah dan jika sabit kesalahan, boleh dijatuhi hukuman denda sehingga RM10,000 atau penjara sehingga dua tahun atau kedua-duanya sekali. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram