Enam inisiatif PERKESO pemangkin pertumbuhan pekerjaan baharu, rungkai kelompangan jaringan perlindungan sosial


  • Massa
  • Ahad, 15 Okt 2023

Mohammed Azman berkata, penekanan kerajaan ketika ini terarah kepada sektor ekonomi penjagaan dan individu bekerja sendiri terutamanya dalam industri gig. — Gambar hiasan

ENAM inisiatif dikemukakan kerajaan dalam Belanjawan 2024 menerusi peruntukan sebanyak RM200 juta kepada Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) bakal menampung kelompangan jaringan perlindungan sosial dihadapi tenaga kerja di dalam negara.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PERKESO, Datuk Seri Dr Mohammed Azman Aziz Mohammed berkata, kesemua langkah itu pada masa dilihat turut mencerminkan tekad kerajaan bagi memangkin pertumbuhan pekerjaan baharu.

Menurutnya, kesepaduan inisiatif dijalankan tersebut juga dilihat selari dengan hala tuju digariskan di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMKe-12) yang menyasarkan pewujudan sebanyak 1.34 juta peluang pekerjaan.

Jelas beliau, beberapa langkah di bawah pelan tersebut dilihat secara langsung bakal merancakkan pasaran buruh negara.

Ia antara lain melalui inisiatif Bina Kerjaya PERKESO, Sokongan Pekerjaan, integrasi kumpulan sasaran dalam sektor awam dan pengecualian cukai untuk pengambilan pekerja wanita

“Penekanan kepada inisiatif peningkatan kemahiran dapat membantu pekerja sedia ada dalam sektor tidak formal dan formal bagi melengkapkan diri dalam menceburi peluang pekerjaan baharu.

“Rangkaian peluang kerjaya baharu ini dijangka wujud sejajar peralihan ekonomi ke digitalisasi, tenaga boleh diperbaharui serta pekerjaaan hijau.

“Justeru, galakan kerajaan dengan menyediakan insentif menerusi suntikan fiskal dalam Belanjawan 2024 bakal menjadi pemangkin ke arah peningkatan jumlah pekerja berkemahiran tinggi yang akan memenuhi permintaan pasaran buruh di Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan.

A Saudi woman assembles air conditioning units at a factory in Dammam, in Saudi Arabia's eastern province on August 15, 2023. (Photo by Fayez Nureldine / AFP)

Mohammed Azman berkata, jumlah pencari kerja wanita bagi tempoh antara Januari hingga 6 Oktober lalu mencecah seramai 198,751 orang. — Gambar hiasan

Berdasarkan semakan terhadap portal MYFutureJobs, Mohammed Azman berkata, jumlah pencari kerja wanita bagi tempoh antara Januari hingga 6 Oktober lalu mencecah seramai 198,751 orang.

Jelasnya, data perangkaan itu meliputi pencari kerja wanita yang ingin beralih kepada pekerjaan baharu dan mereka yang sedang menganggur.

“Berbekalkan inisiatif Belanjawan 2024 seperti diumumkan Perdana Menteri, ia akan dapat meningkatkan lagi pembabitan wanita dalam pasaran buruh.

"Ini selari sasaran 60 peratus kadar penyertaan tenaga kerja wanita seperti direncana dalam Kerangka Ekonomi Madani," ujar beliau.

Mohammed Azman berkata, PERKESO akan terus berusaha mempertingkat dan memperkasakan portal perkhidmatan pekerjaan negara, MYFutureJobs.

Ini bagi membolehkan ia memberi manfaaat kepada semua lapisan masyarakat bagi mendapat akses pekerjaan lebih mudah menerusi perkhidmatan padanan pekerjaan dan sokongan pekerjaan daripada pertubuhan terbabit.

Menyentuh komponen pemerkasaan jaringan perlindungan sosial, Mohammed Azman berkata, penekanan kerajaan ketika ini terarah kepada sektor ekonomi penjagaan dan individu bekerja sendiri terutamanya dalam industri gig.

"Justeru saya berharap semua penyedia platform gig menyambut baik dan memberi perhatian kepada saranan Perdana Menteri dan Menteri Sumber Manusia dalam meningkatkan perlindungan keselamatan sosial kepada dengan mengambil insiatif menanggung baki 10 peratus caruman bagi penggiat gig demi kebajikan mereka," katanya.

Selain itu, beliau berkata, langkah kerajaan meningkatkan siling gaji diinsuranskan ke paras RM6,000 berbanding RM5,000 juga adalah satu langkah yang tepat.

2265687

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PERKESO, Datuk Seri Dr Mohammed Azman Aziz Mohammed.

Ujarnya, ini kerana ia bakal menambah faedah tunai sebanyak 20.2 peratus untuk manfaat kepada 1.45 juta pekerja dan tanggungan kumpulan tersebut sekali gus melindungi kebajikan rakyat.

“Dengan lonjakan peruntukan sebanyak 150 peratus kepada RM50 juta untuk Skim Keselamatan Sosial Suri Rumah (SKSSR), lebih ramai golongan suri rumah dalam kalangan keluarga berpendapatan rendah dan miskin tegar dapat dilindungi.

“Berdasarkan pangkalan data e-Kasih setakat Ogos 2023, kita mempunyai lebih 500,000 suri rumah yang menepati kelayakan Geran Caruman SKSSR, dengan 166,666 sudah didaftarkan ke skim ini.

“Sehubungan itu, baki golongan suri rumah lain yang direkodkan dalam pangkalan data e-Kasih akan berpeluang mendapat tajaan caruman, menerusi peruntukan RM50 juta yang diberikan kerajaan,” jelasnya.

Bagi penggiat industri gig pula, Mohammed Azman berkata, kumpulan itu bakal mendapat kelegaan selepas kerajaan memutuskan untuk menaikkan geran padanan caruman diberikan kepada 90 peratus, berbanding 80 peratus sebelum ini.

Ujarnya, langkah itu sekali gus turut meningkatkan oleh guna kira-kira 477,281 individu yang berkhidmat di industri dikenali sebagai ekonomi lejang tersebut.

Beliau berkata, syor kerajaan supaya pengendali platform gig untuk menampung 10 peratus lebihan caruman juga adalah wajar kerana bayaran berkenaan perlu dilihat sebagai pelaburan jangka panjang dalam menjaga kelangsungan kebajikan pekerja.

“Saya yakin, dengan rangkaian inisiatif direncana kerajaan menerusi Belanjawan 2024 berupaya menjadi pemacu perubahan struktur yang perlu kita harungi, terutama selepas pandemik Covid-19,” katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram