Iktibar kes Faisal Halim, sut robot HAL antara manfaat jika kelab bola sepak mencarum PERKESO


  • Podium
  • Rabu, 15 Mei 2024

Faisal boleh menerima bantuan rawatan awal dan pemulihan kerana Selangor FC mencarum di bawah Akta 4 PERKESO bagi kedua-dua Skim iaitu Bencana Pekerjaan dan Keilatan.

KELEKAAN sesetengah kelab yang tidak mencarum secara teratur dan ada juga liat untuk mendaftar dengan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) sebenarnya rugi kerana tidak menikmati sebarang faedah daripada organisasi berkenaan.

Sebelum ini, kecoh apabila Majoriti mendedahkan sebanyak 31 kelab atau persatuan yang bermain dalam Liga Super, Liga Perdana dan saingan Liga A1 Semi Pro tidak mencarum secara teratur kepada agensi keselamatan sosial berkenaan.

Rekod PERKESO itu melibatkan 2,820 pemain atau pekerja tempatan dan 258 pemain atau pekerja asing daripada 31 kelab yang pernah mendaftar serta mencarum dengan organisasi tersebut.

BACA LAGI: Kelab Liga M dikesan culas carum PERKESO, 15 pasukan termasuk juara masih tidak daftar

BACA LAGI: Red Giants mencarum secara teratur, Faisal Halim layak terima rawatan hingga sembuh — PERKESO

Namun, lebih parah lagi apabila sebanyak 15 kelab Liga M yang terdiri daripada kelab amatur, lima skuad saingan Liga A1 Semi Pro (M3) dan satu pasukan melibatkan kejohanan Piala MFL dikesan tidak tersenarai dalam rekod pendaftaran.

Berdasarkan isu semasa, caruman kepada PERKESO tidak boleh dipandang enteng oleh majikan kerana ia boleh memberi perlindungan kepada pekerja yang mengalami kemalangan yang berpunca atau terbit dari pekerjaannya.

Kes simbah asid yang menimpa pemain Selangor FC, Faisal Halim misalnya menunjukkan tahap disiplin Red Giants FC Sdn Bhd dalam mencarum di bawah Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969 (Akta 4) dan Akta Sistem Insurans Pekerjaan 2017 (Akta 800) menjadi faktor besar pemain negara itu sekaligus layak mendapat perlindungan sosial daripada agensi keselamatan sosial berkenaan.

Walaupun kejadian itu berlaku di luar waktu kerja namun penyerang sayap kebangsaan itu boleh menerima bantuan rawatan awal dan pemulihan kerana majikannya mencarum di bawah Akta 4 PERKESO bagi kedua-dua Skim iaitu Bencana Pekerjaan dan Keilatan.

Tindakan 15 kelab yang masih enggan mendaftar itu membuatkan kakitangan dan pemain pasukan berkenaan tidak akan menikmati segala faedah PERKESO termasuk peluang menggunakan sut robot Hybrid Assistive Limb (HAL) sebagai alat rehabilitasi.

gambar dalam

HAL merupakan robot jenis cyborg pertama di dunia yang direka cipta oleh Profesor Dr. Yoshiyuki Sankai iaitu Presiden dan CEO Cyberdyne Inc.

SUT ROBOT

HAL adalah robot jenis cyborg pertama di dunia yang boleh membantu seseorang berdepan masalah lumpuh atau lemah anggota kaki akibat kecederaan saraf tunjang atau otak antaranya seperti strok, kecederaan otak traumatik, sklerosis berbilang dan penyakit neurodegeneratif untuk kembali berjalan.

Selain itu, robot suit ini berupaya memulih, menyokong dan meningkatkan tahap kefungsian mobiliti anggota kaki pesakit apabila dipakai. Ia berfungsi berdasarkan teknologi cybernics yang menggabungkan interaksi antara manusia, robot dan informasi.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan (CEO) PERKESO, Datuk Seri Dr Mohammed Azman Aziz Mohammed berkata, Program Rehabilitasi Cyberdyne HAL akan melibatkan sesi terapi antara 60 hingga 90 minit sehari untuk tempoh tiga hingga lima hari seminggu selama 12 minggu, bergantung kepada keadaan dan masalah setiap pesakit.

"Untuk makluman, Pusat Rehabilitasi PERKESO merupakan pengedar eksklusif Cyberdyne HAL di rantau Asia Tenggara. Oleh yang demikian, selain 82 unit yang ditempatkan di Pusat Rehabilitasi PERKESO Tun Abdul Razak (PRPTAR) dan pusat-pusat satelitnya.

"Pusat Rehabilitasi PERKESO juga menyewakan Cyberdyne HAL kepada rakan strategik dan pusat-pusat pemulihan di seluruh Malaysia antaranya Hospital Pengajar Universiti Putra Malaysia (HPUPM), MAHSA Health, Normah Medical Specialist Centre, IHT Rehabilitation Centre dan KPJ Sabah Specialist Hospital.

"Pusat Rehabilitasi PERKESO sentiasa bersedia untuk bekerjasama dengan pusat-pusat rehabilitasi lain bagi penawaran Cyberdyne HAL mengikut permintaan dan keperluan masyarakat," katanya kepada Majoriti baru-baru ini.

Socso chief executive Datuk Seri Dr Mohammed Azman Aziz Mohammed said the upcoming International Public Employment Forum 2023 (IPEF 2023) will give key insights into creating new employment prospects, upskilling and reskilling of the workforce among other insights. —AZMAN GHANI/The Star

CEO PERKESO, Datuk Seri Dr Mohammed Azman Aziz Mohammed.

Setakat ini, terdapat 82 unit Cyberdyne HAL dimiliki Pusat Rehabilitasi PERKESO dan diguna pakai di PRPTAR dan pusat-pusat satelitnya iaitu Pusat Rehabilitasi PERKESO Quill City Mall (PRPQCM), Kuala Lumpur; Pusat Rehabilitasi PERKESO Shah Alam (PRPSA) serta Pusat Rehabilitasi PERKESO Kuala Terengganu (PRPKT).

Dr Mohammed Azman memberitahu, setakat ini seramai 728 orang telah menjalani rawatan Cyberdyne HAL sejak tahun 2019 dengan lebih kurang 57 peratus daripada pesakit tersebut telah kembali ke alam pekerjaan.

Seperti yang diberitahu sebelum ini, HAL juga merupakan salah satu faedah boleh dinikmati pemain bola sepak di mana ia sesuai digunakan untuk bekas atlet atau pemain bola sepak bagi membantu untuk pulih daripada kecederaan.

"Seperti yang dimaklumkan, terdapat tiga jenis sut robot HAL iaitu HAL Lower Limb Type, HAL Single Joint Type dan HAL Lumbar Type.

"HAL Lumbar Type sesuai digunakan untuk meningkatkan prestasi sistem otot para atlet. HAL Lumbar Type dapat membantu atlet untuk mempelajari cara melaraskan pengaktifan dan relaksasi otot melalui teknologi neurosensing.

"Bagi atlet yang sesuai, HAL sememangnya akan diintegrasikan dalam program rehabilitasi bagi meningkatkan proses kemajuan mereka," katanya sambil menambah bahawa teknologi itu salah satu ikhtiar kelab sebagai proses pemulihan pemain.

Selain teknolgi robot HAL, kebaikan mencarum dan mendaftar dengan PERKESO adalah mendapat Skim Insurans Bencana Pekerjaan Skim Keilatan di bawah Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969 (Akta 4).

Manakala, Akta Sistem Insurans Pekerjaan 2017 (Akta 800) pula layak menerima faedah seperti Elaun Mencari Pekerjaan, Elaun Bekerja Semula Awal, Elaun Pendapatan Berkurangan, Elaun Latihan, Pembiayaan Fi Latihan dan Penempatan Pekerjaan & Kaunseling Kerjaya jika kehilangan pekerjaan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram