Kelab gagal bayar gaji, tidak mencarum PERKESO boleh kena tindakan jika pemain kemuka aduan — FAM


  • Podium
  • Selasa, 14 Mei 2024

Kebanyakan daripada 31 kelab atau persatuan yang bermain dalam Liga Super, Liga Perdana dan saingan Liga A1 Semi Pro tidak mencarum secara teratur kepada PERKESO.

PERSATUAN Bola Sepak Malaysia (FAM) sememangnya telah menyarankan semua kelab bola sepak yang berdaftar di bawah badan induk berkenaan supaya mencarum dengan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) sebagai salah satu alternatif menjaga kebajikan pemain dan kakitangannya.

Setiausaha Agung FAM, Datuk Noor Azman Rahman berkata, faedah yang ditawarkan oleh agensi keselamatan sosial berkenaan jauh lebih variasi berbanding perlindungan insurans.

Noor Azman juga berpendapat berdasarkan kejadian menimpa Faisal Halim, sepatutnya semua kelab bola sepak mengambil pengajaran kerana tindakan majikan yang mencarum secara sistematik membolehkan pemain itu mendapat perlindungan selayaknya.

BACA LAGI: Perak, SUFC akui bergelut carum PERKESO, tapi Terengganu, Penang patut jadi teladan

BACA LAGI: Red Giants mencarum secara teratur, Faisal Halim layak terima rawatan hingga sembuh — PERKESO

Kes simbah asid yang menimpa pemain Selangor FC itu misalnya menunjukkan tahap disiplin Red Giants FC Sdn Bhd mencarum mengikut Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969 (Akta 4) dan Akta Sistem Insurans Pekerjaan 2017 (Akta 800) menjadi faktor utama pemain negara itu sekali gus layak mendapat perlindungan sosial daripada agensi keselamatan sosial berkenaan.

Walaupun kejadian itu berlaku di luar waktu kerja, namun penyerang sayap kebangsaan itu boleh menerima bantuan rawatan awal dan pemulihan kerana majikannya mencarum di bawah Akta 4 PERKESO bagi kedua-dua Skim iaitu Bencana Pekerjaan dan Keilatan.

Mengulas lanjut, Noor Azman berkata, biasanya semua pemain di bawah kelab perlu ambil ada caruman PERKESO, bagaimanapun ada juga kelab yang turut mengambil perlindungan insurans.

"Ada kelab mencarum dengan PERKESO dan insurans, ada juga ambil salah satu daripadanya. Ia bergantung kepada kelab, tetapi bagi kami sememangnya akan sarankan ambil PERKESO.

"Caruman PERKESO memang kecil sedikit daripada insurans tapi nak ambil dua-dua pun okay. Saya galakkan ambil dua, tapi kalau nak salah satu, ambil PERKESO lah. Kelebihan jangka masa panjang pencen dan sebagainya.

"Kejadian Faisal Halim boleh jadi iktibar buat kelab lain mencarum terutama yang masih liat nak bayar caruman," katanya kepada Majoriti.

azman fam

Setiausaha Agung FAM, Noor Azman.

Noor Azman berkata demikian apabila diminta mengulas sikap acuh tak acuh sesetengah majikan dalam kalangan kelab bola sepak yang culas membayar caruman PERKESO dan ada juga pasukan liga domestik masih enggan mendaftar dengan organisasi berkenaan.

Berdasarkan laporan Majoriti sebelum ini, kebanyakan daripada 31 kelab atau persatuan yang bermain dalam Liga Super, Liga Perdana dan saingan Liga A1 Semi Pro tidak mencarum secara teratur kepada agensi keselamatan sosial berkenaan.

Selain caruman tidak sistematik kelab, ada juga senario apabila sebanyak 15 kelab dikesan tidak mendaftar dengan PERKESO, sekaligus kebajikan pemain dan kakitangan terabai.

Menurut Noor Azman, pihaknya akan mengambil tindakan terhadap kelab yang gagal mencarum jika mereka mempunyai sejarah tidak membayar gaji pemain dan tonggak mereka mengemukakan aduan.

"Kelab tak bayar gaji seperti Melaka akan melalui proses akhir, yang mana isu berkenaan akan dibawa kepada kami (FAM) dan jawatankuasa status kepada Majlis Penyelesaian Resolusi Kebangsaan (NDRC)," jelasnya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram