Siapa sangka Chijioke kini sebaris Faye, Afro dan Nabil bermula dari 'jalanan' ke Liga Super


  • Podium
  • Selasa, 14 Mei 2024

Nama Chijioke terus disebut-sebut selepas pemain itu menjaringkan gol ketika berdepan Perak FC. — Facebook/Terengganu FC

KEMENANGAN 3-1 direkodkan Terengganu FC ke atas Perak FC terus menjadi bahan bualan sehingga hari ini dengan kelab Pantai Timur berkenaan menampilkan aksi paling cemerlang bagi minggu pertama perlawanan Liga Super.

Tumpuan penyokong skuad Sang Penyu sudah tentu diberikan kepada pemain gantian, Chukwu Chijioke yang menjaringkan gol ketiga buat pasukannya pada minit ke-81.

Dia yang baru sahaja dimasukkan kurang dari tiga minit mudah membaca hantaran Engku Nur Syakir untuk menewaskan penjaga gawang lawan, Haziq Nadzli.

BACA LAGI: [VIDEO] Aksi sengit liga tertangguh seketika, pengadil tinggalkan padang angkara sakit perut

BACA LAGI: Kelab Liga M berisiko didenda RM10,000, penjara jika gagal carum secara teratur — PERKESO

22450002_496535904037222_8569823214782056431_n

Chijioke ketika masih bergelar pemain Shah Alam Antlers dalam SCL. Facebook/SCL

Gol tersebut sudah tentu menjadikannya bahan bualan hangat orang ramai memandangkan pemain dari Nigeria itu beraksi dalam liga sosial tanah air beberapa tahun sahaja dahulu.

Pengalaman diraihnya bersama Shah Alam Antlers sejak 2017 sedikit sebanyak mendedahkannya dengan tradisi bola sepak tempatan, baik dari segi pemakanan mahupun latihan.

Selepas itu, Chijioke mencuba nasib dengan mencabar dirinya dalam saingan Piala MFL musim lalu setelah menyertai PDRM FC II sebelum berkelana ke Pantai Timur pada jendela perpindahan lalu.

Jadi, pemain berkenaan membuktikan bahawa seseorang tidak perlu menempuh sistem pembangunan bola sepak secara teratur dalam misi merebut tempat secara profesional.

Malah, ini turut dibuktikan tiga pemain lain yang mengambil langkah seperti mana diambil Chijioke dengan beraksi dalam liga sosial sebelum menempah tempat dalam Liga Super.

1. Jacque Faye (Negeri Sembilan FC)

Sekiranya seseorang mengikuti perkembangan bola sepak sosial secara dekat, mereka pasti tahu bahawa pemain import Negeri Sembilan FC, Jacque Faye merupakan seorang legenda.

Fizikalnya yang jauh meninggalkan pemain lokal membuatkannya sukar dibendung, lebih-lebih lagi sekiranya dia diturunkan sebagai pemain tengah.

Jadi, tidak hairanlah apabila pujian melambung diberikan kepada pemain kelahiran Senegal itu membuat penampilan pertamanya dalam Liga Super bersama skuad Sang Saka Biru musim lalu.

GIdIutjawAALp5_

Jacque Faye (kiri) ketika masih beraksi dalam SCL kira-kira dua tahun lalu. Twitter

Meskipun tidaklah menjadi watak utama buat pasukan itu, kelibatnya membuktikan bahawa seorang pemain dari liga sosial boleh menembusi pasaran Liga Super.

Malah, kepercayaan serta ketabahan ditonjolkan pemain berusia 30 tahun tersebut sepanjang kariernya membuahkan hasil selepas dia membantu PDRM FC menjuarai MFL Challenge Cup.

Untuk rekod, Faye pernah beraksi dalam Selangor Champions League (SCL) selain menyertai beberapa kelab lain seperti Melawati FC dan FC Pulapol sepanjang bertahun-tahun mewarnai arena bola sepak sosial negara.

2. Sharul Nazeem Zulpakar (Selangor FC)

Ketika ini, Sharul Nazeem Zulpakar boleh dikatakan salah seorang bek tengah terbaik dalam skuad Gergasi Merah kerana dia cukup tangkas setiap kali diturunkan.

Namun, tahukah anda bahawa pemain yang dikenali sebagai Afro itu merupakan seorang lagi produk bola sepak sosial sebelum menempah nama dalam Liga Super?

Berdasarkan perkongsian ramai, pertahanan serba boleh tersebut pernah menyertai MK Boskay FC yang beraksi dalam Liga Perdana Sosial Selangor pada 2018.

Tq @mkboskayfc kerana beri saya peluang utk bermain dlm liga @sspleague   alhamdulillah dpt man of the match pulak

Sharul Nazeem mengambil langkah berbeza dalam kariernya. Instagram/Sharul Nazeem

Selepas itu, bakatnya mula dipandang skuad Gergasi Merah yang menyambar khidmatnya dan diletakkan dalam skuad simpanan bagi memberikannya pengalaman diperlukan.

Sharul akhirnya diberikan kepercayaan untuk meraih debut dalam Liga Super pada 2021 dengan kepercayaan mula diraih barisan kejurulatihan kelab perlawanan demi perlawanan.

Tidak cukup dengan itu, dia juga pernah beraksi buat skuad kebangsaan sebanyak beberapa kali, namun tidak bernasib baik apabila disisihkan ketika kempen Piala Asia 2023.

3. Nabil Ahmad Latpi (Penang FC)

Seorang lagi pemain PDRM FC musim lalu, Nabil Ahmad Latpi juga merupakan seorang lagi pemain yang pernah mencuba nasib dalam arena bola sepak sosial sebelum membuktikan nilai dalam Liga Super.

Pada 2019, pemain yang kini berusia 30 tahun itu hanyalah seorang pemain dalam kelab amatur, Ultimate FC ketika mereka berdepan Terengganu FC dalam Piala FA.

Persembahannya yang cukup baik menerima perhatian pengendali lawan, Irfan Bakti Abu Salim yang mengambil keputusan menyambar khidmatnya pada jendela perpindahan berikutnya.

WhatsApp Image 2024-05-13 at 23.01.57

Nabil (kanan) ketika masih beraksi bersama Ultimate FC pada 2019. Facebook/Sports Malaysia

Dari situ, Nabil tidak lagi menoleh ke belakang apabila terus membuktikan kebolehannya dengan beberapa kelab Liga Super sempat disertainya, termasuk Kuala Lumpur City FC.

Bagaimanapun, kemuncak terhadap kariernya pasti ketika dia beraksi buat skuad Sang Saka Biru dan menjulang MFL Challenge Cup pada musim lalu.

Kini, pemain berkenaan mengambil keputusan menyertai Penang FC dengan dia sudah merekodkan penampilan dalam aksi pembukaan Liga Super 2024/25 berdepan Sabah FC pada Ahad.

Perkembangan itu sudah tentu cukup menggembirakan hatinya yang pernah hanya berpuas hati kerana terpaksa beraksi dalam liga sosial beberapa tahun sahaja dahulu. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram