1.45 juta pekerja terima manfaat peningkatan siling gaji bulanan bagi caruman Perkeso kepada RM6,000


  • Primer
  • Jumaat, 13 Okt 2023

Kerajaan akan meningkatkan siling gaji bulanan bagi caruman Perkeso.

KERAJAAN akan meningkatkan siling gaji bulanan bagi caruman Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) daripada RM5,000 kepada RM6,000.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, peningkatan itu akan meningkatkan faedah tunai pada kadar 20.2 peratus untuk manfaat 1.45 juta pekerja dan orang tanggungan mereka.

Beliau berkata demikian ketika membentangkan Belanjawan 2024 di Parlimen pada Jumaat.

Dalam pada itu, Anwar memberitahu, akaun ahli Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) akan distrukturkan semula untuk memperkasa simpanan persaraan.

"Akaun Fleksibel KWSP akan diperkenalkan sebagai akaun baharu yang boleh diakses ahli pada bila-bila masa," katanya.

Beliau yang juga Menteri Kewangan turut menjelaskan, kerajaan akan menambah baik program perlindungan sosial bagi memastikan golongan tumpuan terus mendapat perlindungan sewajarnya.

Ujarnya, kadar tanggungan kerajaan di bawah Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (SKSPS) akan ditingkatkan kepada 90 peratus dengan peruntukan RM100 juta.

"Saya menyeru syarikat pengendali untuk menanggung baki 10 peratus caruman bagi pihak pekerja gig.

"Saya yakin syarikat pengendali platform amat prihatin dengan kebajikan pekerja mereka.

"Selain itu, had caruman padanan kerajaan di bawah program i-Saraan KWSP ditingkatkan kepada RM500 setahun terhad kepada RM5,000 seumur hidup," katanya.

Tambahnya lagi, Skim Keselamatan Sosial Suri Rumah akan diteruskan dengan peruntukan RM50 juta memanfaatkan lebih 400,000 suri rumah wanita yang berdaftar di bawah eKasih.

"Atas dasar kasih dan sayang, program i-Sayang KWSP akan diperluas untuk turut membolehkan isteri memindahkan dua peratus caruman KWSP syer pekerja kepada suami," jelas Anwar. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram