PENGGUNAAN dan pemasangan video bantuan pengadil (VAR) masih belum membuahkan hasil terbaik selepas penyokong masih belum berpuas hati dengan teknologi berkenaan.
Selain pengadil gagal memanfaatkannya, masalah teknikal turut berlaku sehingga memaksa beberapa perlawanan diteruskan tanpanya, sekali gus membangkitkan pelbagai isu.
Jadi, meskipun baru sahaja tiga minggu digunakan, ramai peminat setia bola sepak tempatan mendesak supaya teknologi tersebut tidak lagi diteruskan untuk baki musim.
BACA LAGI: [VIDEO] Pengadil MSSD naik angin lepas dipukul pemain dari belakang di Kubang Pasu
BACA LAGI: Piala Dunia beri peluang tingkat kredibiliti pengadil sepak takraw tempatan — PSM
VAR pernah beberapa kali tidak dapat digunakan berikutan isu teknikal.
Namun, desakan berkenaan boleh dikatakan terlalu terburu-buru memandangkan pihak Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) sendiri sudah tahu bahawa isu sedemikian bakal berlaku.
Ini berikutan pengalaman lalu yang menyaksikan keputusan daripada VAR sering dipertikaikan di seluruh dunia dengan badan pengelola bola sepak tempatan itu mahu mencari penyelesaian terbaik untuk menyelesaikan hal berbangkit.
Bagaimanapun, bagi penyokong, mereka seakan-akan sudah mempunyai solusi untuk mempertingkatkan mutu dan hasil daripada penggunaannya selepas satu video tular dari Afrika baru-baru ini.
Klip pendek yang difahamkan dari Togo itu memaparkan satu perlawanan bola sepak sosial dilengkapi teknologi tersebut dengan pengadil menggunakannya untuk mengadili aksi berkenaan.
MFL memperkenalkan VAR dalam usaha meningkatkan mutu bola sepak negara.
Tetapi, apa yang menarik adalah apabila didapati VAR itu tidaklah menggunakan rakaman seperti mana digunakan secara rasmi, namun hanya dibuat berdasarkan rakaman dikongsikan orang ramai.
Paparan itu membolehkan pengadil melihat insiden daripada pelbagai sudut sebelum dia boleh memberikan keputusan terbaik berdasarkan insiden yang tercetus.
Video yang dimuat naik di Facebook Hot Ice itu kemudiannya menerima tontonan ribuan pengguna akaun media sosial dengan masing-masing memuji pendekatan menarik diguna pakai.
"Kenapa ada yang gelakkan? Sekurang-kurangnya, mereka ada usaha untuk menyediakan pemain dan pasukan dengan undang-undang terkini dalam bola sepak," kata Mat Nip Pan.
"Bagus, murah dan mudah, tidak perlu sediakan wang jutaan ringgit bagi sistem VAR. Apa yang hendak dilihat hanya rakaman kejadian. Jadi, ia sudah mencukupi," kata Shah Shinzo.
"Kadang-kadang, lebih seronok untuk saksikan bola sepak di Afrika walaupun serba kekurangan. Kita ni, entahlah. Hendak tunjuk kualiti masing-masing sehingga saling menjatuhkan," kata Baie Sayuti.
VAR diperkenalkan MFL musim ini dengan harapan ia dapat melenyapkan sebarang spekulasi timbul dalam saingan bola sepak tempatan yang dialami bertahun-tahun lamanya.
Laporan semasa mengatakan beberapa kelab ternama, termasuk kelab-kelab Liga Perdana Inggeris mahu teknologi berkenaan tidak lagi diteruskan atas kontroversi yang berlaku.
Bagaimanapun, dengan sukan bola sepak terus mahu melangkah ke hadapan, desakan itu sudah tentu tidak didengari dengan penyokong juga masih berbelah bahagi dengannya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram