Supersub Jefri sekali lagi bantu Sabah curi 3 mata derbi Borneo


  • Podium
  • Sabtu, 25 Mei 2024

Jefri yang dimasukkan hanya memerlukan beberapa minit untuk memastikan kemenangan berpihak kepada skuad Sang Badak. — Facebook/MFL

CITA-CITA Sabah FC mendapatkan kemenangan berterusan dalam Liga Super 2024/25 tercapai selepas mereka meraih kemenangan 2-1 ke atas seteru Borneo, Kuching City FC di Stadium Likas, Sabah pada Sabtu.

Meskipun ketinggalan melepasi minit ke-60 selepas gol Pedro Henrique, skuad Sang Badak kembali mengikat kedudukan menerusi gol Darren Lok menerusi sepakan penalti tidak lama selepas itu.

Semakan video bantuan pengadil (VAR) terhadap kekasaran dialami Ko Kwang-min menyaksikan sepakan itu diberikan yang kemudiannya disempurnakan penyerang kebangsaan itu.

BACA LAGI: Rekod bersih Penang FC akhirnya tercalar

BACA LAGI: Dua manfaat VAR, ketangkasan Azri Ghani tak dapat elakkan pesta gol JDT di Cheras

Namun, kedudukan itu masih belum cukup buat pengendali tuan rumah, Datuk Ong Kim Swee yang mengambil keputusan membawa masuk pemain sayap, Jefri Firdaus Chew.

Keputusan berkenaan jelas membuahkan hasil apabila pemain itu menjaringkan gol kemenangan selepas merembat masuk bola muntah dengan pertahanan lawan gagal mengawal keadaan.

Jaringan tersebut sudah tentu membawa kelegaan buat bekas pemain Penang FC tersebut yang mengalami kemarau gol untuk beberapa bulan dengan ia bermula sejak penghujung musim lalu.

Kedudukan kekal sehingga wisel penamat ditiupkan, sekali gus memastikan kemenangan kedua-dua berturut-turut diraih mereka selepas seri dalam aksi pembukaan.

Sementara itu, Kuching City FC sudah tentu kecewa akan prestasi tidak menentu yang dialami dengan hanya dua mata dikutip hasil dua keputusan seri direkodkan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram