Dua manfaat VAR, ketangkasan Azri Ghani tak dapat elak pesta gol JDT di Cheras


  • Podium
  • Sabtu, 25 Mei 2024

Juan Muniz meneruskan persembahan cemerlang dengan dua gol di Stadium Cheras, KL. — Facebook/JDT

KUALA Lumpur (KL) City FC menunjukkan persediaan mereka menentang kuasa besar bola sepak tanah air, Johor Darul Ta'zim (JDT) apabila memastikan mereka hanya ketinggalan dengan satu gol pada separuh masa pertama aksi Liga Super, Ahad.

Kunjungan juara Liga Super 10 kali berturut-turut itu di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras menunjukkan JDT masih menguasai permainan dengan melakukan serangan ke atas kubu The City Boys.

Pada babak separuh mara pertama, jentera serangan JDT yang diketuai penyerang import sensasi, Bergson Da Silva gagal menterjemahkan peluang dalam bentuk jaringan gol dan mudah ditepi oleh penjaga gawang KL City FC, Azri Ghani.

BACA LAGI: Sasaran Piala Asean: Bergantung JDT dan Selangor — Hamidin Mohd Amin

BACA LAGI: Jurulatih level Piala Dunia mungkin rahsia JDT boleh kekalkan kejuaraan musim ini

WhatsApp Image 2024-05-25 at 18.30.12

Tiga mata dibawa pulang skuad Harimau Selatan meskipun aksi baik dipamerkan KL City FC. Facebook/JOHOR Southern Tigers

JDT terus mengatur gerakan dan menguji Azri namun ketangkasan penjaga gol kebangsaan itu terus mengecewakan jentera serangan Harimau Selatan yang masih kelaparan mendapat gol pertama di Cheras.

Jaringan gol pemain kelahiran Argentina Fernando Forestieri pada minit ke-41 dinafikan oleh penjaga garisan selepas pihak bertugas mendapati ofsaid namun Video Bantuan Pengadil (VAR) menunjukkan sebaliknya dan akhirnya, memberi JDT gol pertama.

Kegembiraan JDT bertambah apabila sepakan percuma dari Juan Muniz mudah memasuki gawang Kuala Lumpur dan meletakkan JDT di hadapan dengan keputusan 2-0 pada separuh masa pertama.

Sebelum masa tambahan masa pertama berakhir, Paulo Josue menyempurnakan sepakan penalti buat KL City selepas pengadil menghadiahkan susulan Haqimi Azim dijatuhkan oleh Oscar Arribas.

Memasuki minit ke-60, Forestieri berhasil mencetak jaringan kedua peribadinya dan skuad Warga Kota bertambah derita apabila Juan meledak gol keempat Harimau Selatan dengan terhasil menerusi kepakarannya iaitu percubaan dari luar kotak penalti pada minit ke-70.

Pada minit ke 75, semakan VAR menyelamatkan pertahanan kental KL City FC, Giancarlo Gallifuoco daripada dilayangkan kad merah apabila sebelumnya bek tengah itu dikesan melakukan kekasaran terhadap Forestieri.

Pemain gantian, Syahmi Safari turut mencatatkan nama sebagai penjaring apabila meledak gol pertamanya musim ini selepas menerima hantaran bantuan daripada Juan minit ke-89.

Perlawanan di Cheras nyata tidak memihak pasukan tuan rumah apabila terpaksa akur dengan kehebatan Harimau Selatan dan keputusan 1-5 menutup kisah minggu ketiga Liga Super skuad Warga Kota pada Ahad.

Selepas ini, pasukan Lembah Klang berkenaan akan bertandang ke Paroi bagi menentang Negeri Sembilan FC pada 21 Jun, manakala JDT pula akan melayan kunjungan Sri Pahang pada 22 Jun. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram