Piala Dunia beri peluang tingkat kredibiliti pengadil sepak takraw tempatan — PSM


  • Podium
  • Selasa, 14 Mei 2024

Seramai 25 pengadil tanah air akan dinaikkan pangkat ke pengadil bertaraf Persekutuan Sepak Takraw Antarabangsa dan Persekutuan Sepak Takraw Asia.

SERAMAI 25 pengadil tempatan mengikuti Kursus Pengadil Sepak Takraw Peringkat Antarabangsa dan Rantauan menjelang Kejohanan Sepak Takraw Piala Dunia 2024 yang akan membuka tirainya pada 18 Mei nanti.

Kursus tersebut dirasmikan oleh Presiden Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM), Datuk Sumali Reduan dalam satu majlis yang berlangsung di Hotel Tamu & Suites, Kuala Lumpur pada Selasa.

Sumali berkata, beliau gembira apabila seramai 25 pengadil tanah air akan dinaikkan pangkat ke pengadil bertaraf Persekutuan Sepak Takraw Antarabangsa (ISTAF) dan Persekutuan Sepak Takraw Asia (ASTAF).

BACA LAGI: Skuad sepak takraw negara perlukan wajah baharu — Kapten

BACA LAGI: Sepak takraw kuadran, 'senjata' Malaysia pecah dominasi Thailand

WhatsApp Image 2024-05-14 at 17.07.07

Sumali meluahkan kegembiraan apabila seramai 25 pengadil akan dinaikkan pangkat.

"Seramai 25 pengadil tanah air dinaikkan pangkat yang mana 10 pengadil dari ASTAF ke ISTAF dan 15 dari PSM ke ASTAF.

"Kita ambil peluang ni untuk menaiktaraf pengadil tanah air selepas kali terakhir diadakan pada tahun 2014," katanya kepada Majoriti.

Menurutnya, pengadil di Malaysia perlu diberi peluang berkenaan agar pengalaman mereka dalam sukan sepak takraw dihargai.

"Kalau kita tak ambil peluang ni, pengadil-pengadil yang ada di Malaysia yang berkualiti, berkaliber dan memang dah sampai tahap ISTAF, ASTAF tidak akan ada peluang lain lagi masa akan datang.

"Hal ini kerana, mereka terpaksa mengambil kursus ni di negara lain dan akan memakan kos yang tinggi.

"Ini juga merupakan sasaran saya sebab saya tertanya-tanya kenapa Malaysia yang aktif berkembang dalam sukan sepak takraw ini tidak melahirkan pengadil bertaraf ISTAF, ASTAF.

"Sudah tiba masanya kita lahirkan pengadil yang berkualiti dan mereka ini merupakan pengadil yang dipilih dari setiap negeri," jelasnya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram