PERLAWANAN derbi Pantai Timur sentiasa dinantikan penyokong Terengganu FC (TFC) dan Kelantan Darul Naim (KDN) FC dengan masing-masing pasukan akan cuba menjaga maruah untuk meraih tiga mata dalam aksi sengit itu.
Derbi Pantai Timur di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Gong Badak, Terengganu pada Jumaat ini merupakan pengalaman pertama buat pemain import baharu skuad Sang Penyu, Marin Pilj.
Pemain antarabangsa Croatia berusia 27 tahun itu berkemungkinan berada dalam perhitungan untuk perlawanan derbi berkenaan dan dia juga sedia maklum betapa pentingnya permainan tersebut buat rakan sepasukannya.
BACA LAGI: Segak sarung jersi 'away' Kijang Emas, Annuar Musa beri 'hint' mahu bersama KDN FC?
BACA LAGI: Isu teknikal VAR di Stadium Bandaraya mungkin punca gol Manuel Ott tidak disahkan
"Saya tahu ia adalah derbi. Saya telah mendengar tentang persaingan antara dua negeri berjiran ini, jadi saya meramalkan ia akan menjadi perlawanan yang sukar. Tetapi saya fikir jika kami boleh bermain pada tahap yang betul, kami akan menang," katanya.
Dalam dua perlawanan Liga Super sebelum ini, Marin bermain bersama pemain Filipina kelahiran Jerman, Manny Ott dan bintang import dari Uzbekistan, Nurillo Tukhtasinov di bahagian tengah.
Terengganu memulakan musim dengan empat mata, menewaskan Perak 3-1 di Stadium Sultan Mizan pada 11 Mei tetapi terpaksa akur seri 0-0 ketika bertemu Penang FC di Stadium Bandaraya di George Town, Pulau Pinang pada 19 Mei.
Skuad kendalian Tomislav Steinbruckner akan menjadi pasukan pilihan untuk mendapatkan tiga lagi mata namun bekas pemain NK Varazdin itu akui semua pasukan dalam Liga Super sukar untuk dipecahkan dan setiap perlawanan memberikan cabaran.
Marin (kanan) ketika perlawanan bertemu Penang FC pada Ahad lalu. — Facebook/TFC
“Dua perlawanan yang saya diturunkan sebelum ini sangat sukar. Saya belajar bahawa kita tidak boleh menang dengan mudah. Kita perlu berada pada tahap maksimum untuk meraih tiga mata.
“Ia adalah tahun pertama saya di Malaysia tetapi pemain yang kami ada di bilik persalinan adalah hebat. Kami semua bersama-sama berjuang untuk matlamat yang ditetapkan oleh kelab," katanya.
Dalam pada itu, Marin juga memberikan pujian khas untuk jurulatih Terengganu, Steinbruckner selepas beberapa bulan berlatih di bawah kendalian pengendali berusia 57 tahun berkenaan.
“Saya hanya boleh mengatakan perkara yang baik tentang jurulatih. Saya percaya kami semua hanya memerlukan sedikit masa lagi untuk menunjukkan perkara yang jauh lebih baik.
“Skuad yang kami ada bagus kerana kami juga mempunyai beberapa pemain penting seperti (rakan Croatia) Ivan Mamut, yang merupakan penjaring terbanyak untuk pasukan musim lalu," tambahnya.
Jae-hong berhasrat untuk menghadiahkan tiga mata pertama buat KDN FC malam ini. — Facebook/KDN FC
Sementara itu, jurulatih KDN FC, Park Jae-hong juga bermotivasi untuk menang perlawanan malam ini. Dia akui ia aksi sukar menanti mereka tetapi skuad Kijang Emas berazam mahu memburu kemenangan selepas tewas dalam dua perlawanan pertama musim ini.
KDN FC sebelum ini tumpas kepada Sri Pahang 0-1 di Stadium Darul Makmur, Kuantan pada 11 Mei dan di tangan Sabah FC dengan keputusan 2-3 di Stadium Sultan Mohd IV, Kota Bharu pada 17 Mei.
“Kami akan memberikan persembahan yang baik, dari segi taktikal dan teknikal. Kita juga harus menunjukkan kematangan yang lebih. Dalam dua perlawanan terakhir, kami tidak melakukan persiapan yang baik dari segi memahami lawan tetapi menentang Terengganu, kami telah membuat persiapan yang baik.
“Kami perlu mengurangkan kesilapan dan perlu memanfaatkan set-piece yang kami dapat. Saya mahu anak-anak buah saja jauh lebih pantas dalam menyerang dan perlu segera dalam membuat gerakan kreatif," jelasnya. — The Star
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram