Rekod bersih Penang FC akhirnya tercalar tapi kekal 'berseri'


  • Podium
  • Sabtu, 25 Mei 2024

Ifedayo menanduk masuk bola hasil hantaran lintang daripada Fadi Awad pada minit ke-31 bagi membolehkan PDRM FC mendahului Penang FC pada babak pertama. — PDRM FC

REKOD tanpa bolos Penang FC akhirnya terlerai dalam perlawanan ketiga Liga Super selepas gawang pasukan tersebut dibocori oleh tandukan penyerang PDRM FC, Ifedayo Omosuyi.

Dalam aksi di Stadium Selayang, Selangor, pada Sabtu, skuad The Cops Berjaya memecah kebuntuan apabila Ifedayo menanduk masuk bola hasil hantaran lintang daripada Fadi Awad pada minit ke-31.

Pasukan kendalian Akmal Rizal hampir berjaya menemui jaringan penyamaan hasil daripada rembatan Rafael Viktor, namun ia dinafikan oleh Video Bantuan Pengadil (VAR) akibat ofsaid.

BACA LAGI: Aksi sulung Liga Super berbaki 2 hari, fans kecewa Kedah masih belum rasmi jersi baharu

BACA LAGI: Pernah berbakti bersama Kedah, 3 pemain sayap mudah pikat hati penyokong Sang Kenari

Memasuki babak kedua, ketua jurulatih Harimau Kumbang, Akmal Rizal melakukan perubahan dengan membawa masuk dua pemain menyerang iaitu Al-Hafiz Harun dan Alif Ikmal bagi memberikan lebih tekanan terhadap barisan pertahanan tuan rumah.

Percaturan tersebut tidak menunggu lama untuk membuahkan hasil apabila penyerangnya, Rodrigo Dias berjaya menampan masuk bola di hadapan gawang The Cops selepas menerima hantaran hasil gerakan direncanakan pemain pertahanan kiri pasukan, Adib Raop.

Kedua-dua pasukan kemudiannya mempamerkan penguasaan seimbang dengan saling berbalas serangan namun dikecewakan ketumpulan barisan serangan yang gagal menyempurnakan gerakan berbahaya dicipta.

Pada masa sama, cuaca hujan lebat turut sedikit membantutkan intensiti serangan mereka.

Keputusan penuh seri 1-1 di gelanggang lawan ini menyaksikan Penang FC kini berada di tangga keenam Liga Super hasil tiga keputusan seri, iaitu satu mata kurang di belakang PDRM FC yang memungut empat mata hasil dua kemenangan dan satu seri. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram