BOLA Pegun kembali menemui pembaca. Kolum ini, sesuai dengan namanya mengenai situasi bola mati yang penting dalam memburu jaringan, akan cuba berkongsi sorotan mengenai suka-duka jurulatih, pemain mahupun pasukan mengejar kejayaan dalam saingan Liga Super musim 2024/25.
MEMOHON maaf kepada penyokong Negeri Sembilan FC selepas dibelasah 4-0 oleh Selangor FC di Stadium MBPJ pada Ahad, ketua jurulatihnya, Azzmi Aziz, mengakui sangat kecewa kerana perancangannya serba tidak menjadi.
“Saya percaya penyokong meletakkan harapan untuk (melihat) kita lebih baik sebenarnya. Pastinya kita sangat kecewa kerana kita boleh beraksi dengan lebih baik lagi. Tapi benda yang dilakukan tidak mengikut perancangan kita dan kita merasa amat kecewalah,” katanya dalam satu video yang dimuatnaik oleh Negeri Sembilan.
Rasa kecewanya itu mungkin berlapik jika dirujuk kepada skuad Jang itu tewas kedua-dua perlawanan liga kepada Selangor FC musim lalu – 1-2 di Petaling Jaya pada 4 April dan 0-4 di Seremban pada 14 Ogos selain satu lagi kekalahan 1-3 dalam aksi Piala FA.
BACA LAGI: Selangor FC raih hak untuk ‘enjoy’ di sebalik kontroversi raikan jaringan
BACA LAGI: Masih belum ‘pecah telur’, fans Jang desak penyerang dihantar pulang ke Sepanyol
Apa agaknya yang mendorong kepercayaan Azzmi bahawa pasukannya mampu melakukan lebih baik?
Mungkin jawapannya bersandarkan kepada keupayaan mereka mengekang Johor Darul Ta’zim (JDT) daripada berpesta gol dalam kemenangan 3-1 di Stadium Sultan Ibrahim (SSI), Iskandar Puteri seminggu sebelumnya.
Selepas mendapat kemenangan percuma ke atas Selangor yang tidak hadir untuk perlawanan sumbangsih pada 10 Mei atas sebab-sebab keselamatan, itu kali pertama JDT – juara Liga Super 10 musim berturut-turut dengan himpunan 27 piala keseluruhan – turun beraksi musim ini.
Tidak sekadar itu, mereka akan diingati sebagai pasukan pertama dapat menewaskan Ahmad Syihan Hazmi di pintu gol JDT hasil satu serangan balas pantas daripada gerakan perancang Jepun, Takumi Sasaki, dan kemudian disudahkan oleh pemain sayap dari Myanmar, Hein Htet Aung, untuk merapatkan kedudukan kepada 1-2 pada minit ke-28 selepas dua jaringan awal Bergson da Silva (m-12 dan 17).
Cuma, berbanding kesebelasan utama yang mampu ditampilkan di SSI itu, Negeri Sembilan dinafikan khidmat Azrin Afiq dan Htet Aung ketika berdepan Selangor sebagai menghormati perjanjian pinjaman kedua-dua pemain itu daripada Gergasi Merah.
Sasaki antara pemain cemerlang Negeri Sembilan musim ini. — Facebook/NSFC
Dalam pada itu, mereka masih mampu bertahan dengan baik sepanjang 45 minit pertama berdepan Selangor, dengan penjaga gol, Aqil Razak, menggagalkan tidak kurang lima percubaan tuan rumah. Malah, dalam satu serangan balas, mereka nyaris mendahului menerusi Sasaki.
Malangnya, kepaduan mereka bertahan runtuh dalam 45 minit kedua untuk tuan rumah meledakkan empat jaringan. Ia akan menarik untuk dinanti apabila skuad Jang itu kembali ke Stadium MBPJ bersama skuad penuh untuk aksi Piala FA pada 15 Jun ini, dengan Azzmi menjanjikan mereka akan tampil dengan aksi jauh lebih mencabar.
Mengenali Azzmi – jurulatih yang mencetuskan peningkatan PDRM FC musim lalu sebelum khidmatnya ditamatkan secara penuh misteri pada 19 Jun 2023 di sebalik apa yang didakwa sebagai sebahagian penstrukturan semula pasukan ketika itu – dua kekalahan awal pada musim ini mungkin hanya kekecewaan sementara.
Ia mungkin satu kesilapan di pihak lawan untuk mengandaikan Negeri Sembilan tidak akan tergolong sebagai antara pencabar yang perlu dihormati.
Pakar dalam corak permainan bertahan sambil bergantung kepada serangan balas pantas, ia sudah sinonim dengan percaturan jurulatih berusia 49 tahun itu hingga beberapa pasukan dengan reputasi lebih besar turut terperangkap dengan kekalahan tidak diduga musim lalu.
Siapa yang tidak mengingati bagaimana The Cops mengejutkan Kedah Darul Aman FC dengan kemenangan 1-0 di Alor Setar hanya dalam perlawanan ketiganya pada 4 Mac, disusuli kejayaan menundukkan Selangor FC 1-0 pada 3 Jun dan kemudian mengirim pulang Sabah FC dengan kekalahan 0-1.
Malangnya, kejayaan mengalahkan Sang Badak hasil gol Nabil Ahmad Latpi di Stadium MBPJ pada 8 Jun tahun lalu itu menjadi perlawanan terakhirnya selaku ketua jurulatih sebelum tugasnya dipangku oleh penolong ketua jurulatih, Eddy Gapil. Datuk Yunus Alif kemudian dilantik ketua jurulatih baharu.
Selepas berehat separuh musim lamanya, Azzmi membawa diri ke Negeri Sembilan musim ini dan tidak hairanlah pasukan berwajah baru yang dibentuk terkesan dengan cap jarinya.
Mengikutinya ke Seremban ialah enam bekas pemain PDRM -- penjaga gol Aqil Razak, bek kiri Izaffiq Ruzi, bek kanan Norfiqrie Talib, pemain tengah Jacque Faye, serta pemain sayap, Dzulfahmie Abdul Hadi dan Alifh Aiman Rosman.
Barisan pemain importnya selain Faye pula menampilkan bek tengah Aliyu Abubakar, pemain tengah An Sang-su dan Sasaki, pemain sayap Htet Aung, serta penyerang Mika Junco dan Lee Kwang-hui.
Di bawah pengawasan Azzmi, PDRM yang baru dinaikkan dari tangga keenam dalam Liga Premier pada musim 2022, mampu mencapai Petunjuk Prestasi Utama (KPI) 15 mata bagi pusingan pertama liga musim 2023.
Bersama Negeri Sembilan, kemampuannya tidak harus diragui untuk mengulangi ‘magis’ yang sama, dengan skuad berwajah barunya itu berkemungkinan menjadi ‘giant killer’ ke atas beberapa pasukan lebih besar.
Mewakili rakan-rakan sepasukannya, Sasaki awal-awal lagi menyanjung Azzmi sebagai pemangkin kepada pasukan itu.
“Dia seorang pakar taktik dengan pengetahuan yang baik tentang permainan. Dan pengurusan pasukannya juga hebat. Dalam perlawanan menentang JDT, dia dapat mengawal dan memberi inspirasi kepada pemain dengan baik.
“Saya fikir ramai pemain akan berkembang di bawahnya dalam pasukan ini, dan saya juga berhasrat untuk bermain lebih baik di bawah bimbingannya.
“Setelah bermain dengan ramai pengurus di Jepun, saya rasa tahap kejurulatihannya setanding dengan pengurus J. League,” katanya dalam laporan Majoriti pada 21 Mei.
Azzmi tidak akan kekurangan dorongan – pemecatannya oleh PDRM pertengahan musim lalu menuntutnya sesuatu untuk dibuktikan.
Merendah diri mungkin jadi amalan hariannya tapi ia tidak bermakna percaturannya bersama Negeri Sembilan boleh direndah-rendahkan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram