Masih belum ‘pecah telur’, fans Jang desak penyerang dihantar pulang ke Sepanyol


  • Podium
  • Selasa, 28 Mei 2024

Antara aksi Mika (kiri) ketika perlawanan menentang Selangor pada Ahad lalu yang menyaksikan NSFC tewas 0-4. — Facebook/NSFC

NEGERI Sembilan FC (NSFC) masih belum mengutip sebarang mata setakat dua perlawanan Liga Super yang diharungi mereka iaitu ketika bertemu dengan Johor Darul Ta'zim (JDT) dan Selangor FC.

Dalam aksi menentang JDT, skuad Jang terpaksa akur tewas 1-3 dan merekodkan kekalahan besar 0-4 di tangan Selangor ketika berkunjung ke Stadium Majlis Perbandaran Petaling Jaya pada Ahad lalu.

Selepas dua perlawanan yang menyaksikan skuad kendalian Azzmi Aziz dibolosi sebanyak tujuh gol itu, rungutan penyokong juga sudah mula didengari dengan beberapa nama pemain dipetik tidak mempamerkan persembahan kurang cemerlang.

BACA LAGI: 'Perform di pramusim', bintang Selangor, Terengganu, JDT 'belum panas enjin' dalam Liga Super

BACA LAGI: Hilang dari radar, 3 bintang 'ghaib' ketika tirai Liga Super timbulkan tanda tanya

Antara yang mendapat kritikan dek persembahan longlai di atas padang ialah penyerang import terbaharu skuad Jang, Miguel Angel Junco Martinez atau lebih mesra dengan sapaan Mika.

Pemain berusia 31 tahun berkenaan dibawa masuk sebagai import keenam skuad Hobin Jang Hobin dengan menyasarkan untuk menjaringkan gol sebanyak mungkin bagi membantu pasukan itu meraih pencapaian terbaik.

Objektif diletakkan Mika itu bagaimanapun masih belum direalisasikan selepas dia masih menunggu untuk memperolehi gol pertamanya meskipun diletakkan dalam jentera serangan dalam setiap perlawanan.

Meninjau luahan penyokong Jang di media sosial, Penyokong Setia Negeri Sembilan (PSNS) meminta Ketua Pegawai Eksekutif (CEO), Faliq Firdaus dan Azzmi untuk memantau prestasi semasa pemain itu.

MIKA

Mika pernah beraksi di Liga Perdana Kemboja ketika bersama pasukan Svay Rieng FC. — Facebook/NSFC

"Kami harap Negeri Sembilan Football Club pantau pemain import lembik ini!!! Kalau dia rasa nak berlari-lari anak dekat atas padang, lebih baik hantar dia balik ke rumah mak ayah.

"Bagi peluang kepada pemain yang nak bermain. Sakit hati kita tengok dia main malam tadi (Ahad). Ingat itu CEO dan jurulatih, Azzmi Aziz jangan tangkap muat. Kalau tak nak stadium kosong," kata laman penyokong berkenaan.

Untuk rekod, Mika pernah beraksi di liga beberapa negara termasuk yang terkini dalam liga Finland iaitu bersama KTP FC. Ketika bersama KTP selama dua tahun sejak 2022, Mika Junco membuat 35 penampilan dengan meledak 21 jaringan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram